Worldview tentang dunia adalah caranya
seseorang melihat dan menjelaskan tentang dunia dan bumi tempat tinggal
manusia; worldview ini bukan sahaja
melibatkan cara kita berfikir tetapi akan menentukan juga perilaku dan tindakan
kita, dan sekaligus akan menentukan kualiti hidup.
Untuk memutuskan bagaimanakah
caranya kita hendak hidup di atas muka bumi ini, dan cara manakah yang hendak
kita ikuti, kita harus faham benar-benar konsep dari mana kita datang, dan ke
mana pula kita akan pergi selepas ini. Setelah itu baru kita sedar apa yang
harus kita lakukan sepanjang hidup.
Ayat
2 surah al-Fatihah, yang bermaksud, ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir
sekalian alam’, memberitahu bahawa sekalian alam ini kepunyaan Tuhan Allah
itu: kepunyaan bererti Dia yang mempunyai alam ini kerana Dia yang menciptanya,
jadi dari bumi hingga bulan bintang dan segala planet yang berada jauh di atas
sana, adalah ciptaan-Nya; bumi dan segala isinya, sama ada yang hidup atau yang
tidak hidup, termasuk manusia juga adalah kepunyaan-Nya.
Allah
mencipta alam ini tidak pula ditinggalkan begitu sahaja, tetapi Dia mengurusnya
dengan sifat-Nya yang ar-Rahman dan ar-Rahim yang disebut dalam
ayat 3 itu, sesuai dengan kalimah dalam ayat 2 itu yang menyebut rabbil-alamiin;
dengan sifat-Nya yang ar-Rahman dan ar-Rahim, ditempatkannya manusia
di atas muka bumi ini dengan segala isinya iaitu tumbuhan, haiwan, air, tanah,
udara, galian dan sebagainya sebagai tempat tinggalnya yang sementara, lengkap
dengan segala sumber untuk keperluan hidup manusia.
Untuk
manusia, Dia mengurniakan pula akal yang mampu berfikir, agar manusia mampu
meneroka segala isi alam ini untuk ikhtiar hidupnya; dan dengan akalnya yang
bersifat kritis dan kreatif itu, mampu pula merobah sumber-sumber alam yang
semulajadi ini menjadi sesuatu yang baru; dan yang lebih penting lagi ialah
dengan akal menjadikan manusia mampu membezakan antara yang salah dengan yang
benar, sebagai persediaan menjadi khalifah di bumi ini, tidak seperti haiwan
yang akalnya hanya untuk menerbitkan naluri untuk makan-minum, berkelamin dan
beranak sahaja selaras dengan yang telah ditentukan-Nya.
Konsep-konsep
di atas ini harus dijadikan teras bagi membina worldview kita. Kenyataan
yang walaupun ringkas ini tadi sudah memadai untuk mendorong kita berfikir
tentang siapakah kita dan apakah dunia tempat kita tinggal ini, dan seterusnya
berfikir tujuan Allah menjadikan manusia.
No comments:
Post a Comment