Dalam Islam, hubungan antara
seorang dengan yang lain adalah suatu fitrah (atau biasa disebut natural).
Sesiapapun tidak boleh hidup sendirian, atas alasan apa sekalipun.
Ada satu riwayat yang menyebut tentang seorang
lelaki yang terpikat dengan sebuah lembah hijau dan nyaman, lalu dia berangan-angan untuk tinggal di situ, membayangkan
betapa indahnya tinggal di tempat itu sendirian, bersama alam
semulajadi, dan beribadat kepada Allah, tidak akan menyakiti orang lain atau
tiada orang akan menyakiti dirinya. Lantas dia menemui Nabi dan memaklumkan apa yang telah dilihatnya dan
menyatakan sekali hajatnya, malangnya baginda tidak membenarkannya.
Walaupun manusia memang memerlukan suasana tenang,
untuk beruzlah, namun
sebagai makhluk sosial, secara semulajadinya memerlukan hidup dalam masyarakat dan berinteraksi dengan yang
lain.
Hidup bermasyarakat adalah
satu tuntutan nature bagi makhluk sosial seperti manusia dari sejak dilahirkan
lagi. Dengan kata lain, manusia tidak perlu dipaksa hidup bermasyarakat, tetapi
pengalaman
mengajarnya bahawa dia tidak boleh hidup secara berasingan dan bersendirian.
Jadi, apa pun jua alasannya, secara nature memang dia akan merasa bahawa dia
perlu hidup bersama dengan orang lain dalam sebuah masyarakat, bekerjasama dan
berkongsi hidup dengan orang lain. Hal ini pun disebut dalam al-Quran,
‘Kami telah menentukan antara mereka penghidupan
mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas
sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat menggunakan
sebahagian yang lain.’ (az-Zukhruf, 43: 32)
Ayat ini menunjukkan bahawa manusia dicipta tidak
serupa. Setiap orang mempunyai kelebihan namun tidak sunyi daripada sebarang
kekurangan dan kelemahan. Itulah nature kejadian manusia yang Allah swt cipta
agar ujud suasana saling memerlukan antara satu sama lain.
Jadi sebenarnya memang Allah sengaja mencipta
manusia dalam keadaan yang serba berbeza
dari segi fizikal, kapasiti rohani, intelektual
dan emosinya; kebolehan dan keupayaan yang tersendiri, mempunyai
kelebihan dalam satu-satu bidang, tetapi kekurangan dalam bidang lain. Misalnya seorang yang kaya, banyak wang, daya
intelek yang tinggi, tetapi apabila hendak makan buah terpaksa juga mencari
orang lain yang menjual buah. Tanpa penjual buah wang yang ada di tangannya
tidak berguna sama sekali.
Jika semua orang sama, tidak
akan ada keperluan bagi mendapatkan apa-apa perkhidmatan atau
bantuan daripada orang lain. Inilah yang menjadikan manusia saling memerlukan, dan mendorong
untuk berinteraksi antara satu sama lain,
dan inilah asas kehidupan sosial sesebuah masyarakat.
Kepentingan nilai-nilai akhlak dan
keperibadian
Dalam kehidupan
bermasyarakat, nilai-nilai akhlak dan keperibadian adalah suatu keperluan bagi
menjamin keharmoniannya. Akhlak yang baik dan keperibadian yang tinggi melahirkan iklim
masyarakat yang stabil dan seimbang, setiap ahlinya mesra satu sama lain. Jika
sebaliknya iklim masyarakat akan tegang, mudah tercetus rasa tidak puashati
antara individu, dan seterusnya boleh melahirkan kelompok-kelompok kecil yang besar kemungkinannya bertentangan
pandangan dan pendapat.
Apakah akhlak dan apakah pula
keperibadian? Mengikut Kamus Dewan, akhlak bererti
budi pekerti, kelakuan, tabiat, manakala
peribadi diberi makna sifat-sifat
(kelakuan, sikap dan lain-lain) seseorang yang sudah sebati dengan diri sendiri untuk merupakan wataknya, jadi keperibadian adalah watak.
Sesebuah masyarakat yang harmoni memerlukan
ahli-ahlinya yang mempunyai watak mulia secara kolektif. Jika hanya segelintir sahaja yang sedemikian, iklim masyarakat tidak
tenteram, tidak stabil. Jadi untuk hidup dalam sebuah masyarakat yang
harmoni, individu yang mempunyai watak mulia haruslah kelompok yang
majoriti.
Fitrah
manusia sebagai makhluk sosial
Seperti yang disebut di atas tadi bahawa manusia
saling memerlukan antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan masing-masing.
Inilah sebabnya mengapa Nabi melarang hamba Allah dalam riwayat tadi untuk
tinggal bersendirian di lembah hijau tersebut, kerana memang dilarang oleh
agama (Islam): Islam melarang umatnya hidup
menyendiri, tidak ambil peduli hal orang lain. Lagipun dari awal lagi Allah menyatakan bahawa penciptaan manusia
bertujuan untuk menjadikannya khalifah di bumi ini. Sebagai khalifah kehidupannya harus berada di
tengah-tengah kehidupan bermasyarakat, tidak boleh memencilkan diri.
Hidup bermasyarakat bererti
setiap orang akan terikat dengan satu sistem hidup, yang boleh dikatakan agak kompleks,
kerana hidup seseorang adalah berkait dengan
keperluan dirinya sendiri dan manusia lain: keperluan jasmani dan
rohaninya sendiri, hubungan dengan ahli keluarganya, jirannya, masyarakat
setempat dan masyarakat global, yang bererti kita harus berkongsi masa, tempat
dan ruang yang sama untuk hidup.
Kebebasannya terhad oleh keperluan manusia lain
yang juga mempunyai hak ke atas masa, tempat
dan ruang kehidupan. Kerana itu setiap orang harus mempunyai
keperibadian dan akhlak mulia bagi menjamin
keharmoniannya, termasuklah antaranya ialah tolak ansur dan persefahaman
antara seorang individu dengan yang lainnya.
Sebagai khalifah harus mengambil tanggungjawab
mengajak membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran (kedua-duanya sekali). Ini memerlukan seseorang berada bersama
ahli masyarakat. Jika ada ahli
masyarakat yang sikapnya membujur lalu melintang patah, melakukan apa
sahaja yang dia mahu dan bila-bila masa yang dia mahu dan di mana yang dia mahu
harus dibasmi. Sikap individu atau kelompok kecil yang seperti ini adalah
ibarat duri dalam daging yang akan membarah dan merosakkan keharmonian
masyarakat.
No comments:
Post a Comment