Antara orang yang menjadi calon
syurga, yang bererti sudah mendapat rahmat Allah, ialah orang-orang yang berjihad.
Allah berfirman, (iaitu) kamu beriman
kepada Allah dan RasulNya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu (as-Saf,
61: 11). Ayat ini menyebut dengan jelas menyebut bahawa jihad harta akan
dibalas dengan syurga. Ini kerana orang-orang itu dianggap sudah bersih dari
dosa-dosanya. Hal ini disebut oleh ayat 12 surah yang sama, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya
dan memasukkan kamu ke dalam syurga (as-Saf, 61: 12)
Satu ayat lain yang sama
maksudnya ialah Sesungguhnya orang-orang
yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta
mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau
secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis
perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian’. (Fatir, 35: 29)
Apakah perkaitannya dengan
ibadah puasa?
Seperti yang dapat kita lihat
sendiri bahawa dalam bulan puasa banyak amalan menginfakkan harta, seperti
memberi makanan atau kuih muih kepada jiran atau menghantarnya ke masjid atau
surah, memberi sedekah pada kadar yang lebih daripada biasa, dan sebagainya.
Ini juga boleh dilihat sebagai satu jalan jihad harta.
Alangkah baiknya jika kebiasaan
ini disertakan dengan niat sebagai latihan-latihan bagi membina sikap suka menginfakkan harta. Namun bukan
semua orang yang menjalani ibadah puasa mempunyai tanggapan seperti ini. Hanya
orang-orang yang mempunyai tanggapan bahawa ibadah puasa kita ada matlamatnya
akan mendapat petunjuk ke arah ini.
Bagi merealisasikan niat ini
kita harus mengekalkan aktiviti memberi makan dan sebagainya yang kita lakukan
ketika Ramadan diteruskan dalam sebelas bulan yang berikutnya. Misalnya dalam
bentuk mengajak kawan minum-minum, ringan tangan menghulur seringgit dua kepada
anak-anak kecil dan sebagainya. Jika ini dapat dilakukan sehingga mencapai
tahap ikhlas insya Allah niat di atas ini akan menjadi kenyataan.
Sikap suka menginfakkan harta akan
menjurus kepada sikap seterusnya iaitu menderma dan memberi bantuan harta
kepada yang memerlukan. Kebiasaan-kebiasaan ini akan menjurus pula kepada tahap
jihad yang lebih tinggi lagi iaitu berkongsi harta kepunyaan kita dengan orang
lain. Misalnya menggunakan harta yang kita ada untuk membangunkan orang-orang
miskin sehingga dapat berdikari, bukan lagi hanya setakat menyantuni mereka
dengan menghulur dua tiga puluh ringgit sahaja.
Selain jihad harta, jihad juga
mencakupi jihad melawan nafsu dan melawan godaan-godaan dan rintangan dalam
mentaati Allah s.w.t. Sabda Rasulullah saw, maksudnya, Orang yang berjihad adalah orang yang memerangi hawa nafsunya dalam
mentaati Allah Taala (Hadis al-Baihaqi).
Jihad melawan nafsu adalah memerangi
sifat kehaiwanan, dan membendung kejahatan, seperti yang disebut dalam ayat,
yang maksudnya, Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan,
kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhan-ku (Yusof, 12: 53).
Satu lagi matlamat ibadah puasa ialah membuang
sifat bercakap joros, lucah, kotor, menyakitkan hati orang lain, dan
sebagainya. Sifat ini adalah didorong oleh nafsu, dan usaha-usaha melawannya
biarlah sehingga mencapai tahap membuangnya terus.
Justeru, ibadah puasa kita biarlah yang dapat membentuk sikap-sikap
seperti yang dicontohkan di atas ini. Ada banyak lagi selain daripada yang di
atas ini. Jadi ibadah puasa yang dapat membentuk sikap-sikap berjihad seperti
di atas ini akan mendapat rahmat Allah, sebaliknya, jika amalan-amalan ini
hanya dilakukan ketika bulan puasa sahaja, maka matlamatnya tidak tercapai,
bagaimana pula hendak mengharap rahmat Allah kerana puasanya tidak memberi
bekas dalam dirinya.
Menghayati sifat-sifat Allah
Puasa juga mengajar kita agar menghayati sifat-sifat
Allah swt. Dengan mengingati sifat-sifat Allah maka kita akan mendapat
kesedaran bahawa Allah amat hampir dengan kita. Nabi pun pernah bersabda yang
maksudnya, ‘Berakhlaklah (teladanilah) sifat-sifat Allah’.
Tidak dapat dinafikan bahawa keperluan manusia adalah
beranika ragam. Yang paling jelas ialah keperluan terhadap makan-minum dan
hubungan kelamin. Semua orang, sama ada yang kaya atau miskin, di manapun
tempat tinggalnya, apa bangsa sekalipun, mempunyai keperluan ini. Manusia
memang diberi kemampuan untuk menyempurnakan kedua-dua keperluan tersebut,
tetapi, mengapakah ditetapkan bahawa antara perkara-perkara yang membatalkan
puasa ialah mengadakan hubungan kelamin? Persoalan ini sebenarnya berkait
dengan matlamat ibadah puasa. Jika seseorang yang berpuasa mengingat hal ini
akan membawa kepada ingatan kita terhadap sifat-sifat Allah swt, iaitu Allah
itu Maha Esa, tidak beranak dan beristeri seperti yang tersebut oleh ayat-ayat
surah al-Ikhlas. Katakanlah (Muhammad), Dialah Allah Yang Maha Esa. (Allah)
tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Hal ini disebut juga dalam ayat:
Bagaimana (mungkin) Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri
(al-Anam, 101), dan sesungguhnya Mahatinggi keagungan Tuhan kami, Dia tidak
beristeri dan tidak beranak (al-Jinn, 3).
Antara sifat Allah yang lain ialah tidak makan, seperti
yang disebut oleh ayat, Katakanlah (Muhammad), apakah aku akan menjadikan
pelindung selain Allah yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia memberi
makan dan tidak diberi makan? (al-Anam, 14)
Dari ayat-ayat yang diturunkan di atas ini menunjukkan
bahawa Allah tidak mengadakan hubungan kelamin, tidak makan, malah memberi
makan. Kerana inilah seseorang yang berpuasa, dilarang melakukan semua itu,
jika dilakukan juga, batal puasa. Jadi, ibadah puasa ini boleh ditakrifkan
sebagai latihan untuk meneladani sifat-sifat Allah yang tersebut. Jadi
ketahuilah bahawa perkara-perkara yang membatalkan puasa kita itu antara
tujuannya ialah bagi mengingati dan mendekatkan lagi hubungan diri dengan
Allah. Justeru ketika menjalani ibadah puasa sedarilah yang satu ini bagi mendapat
rahmat dari ibadah puasa kita.
Ketika menjalani kehidupan seharian pula jadikanlah ini
sebagai asas kepada kesedaran sifat-sifat Allah yang lain-lain, seperti Maha
Pemurah, Maha Mengasihani, Maha Pengampun, dan sebagainya semoga kita juga akan
menjadi seorang yang pemurah, pengasih dan penyayang, pengampun dan sebagainya.
Di samping itu pula, cara ini boleh menghakis keraguan-keraguan tentang sifat
Allah yang tersebut itu, iaitu Allah tidak bersifat sepertimana makhluk: Allah
tidak makan dan tidak minum, bahkan memberi makan, dan Allah tidak mengadakan
hubungan kelamin. Kita juga mampu memberi makan kepada orang lain ketika
berbuka puasa, dan mampu juga untuk tidak mengadakan hubungan kelamin pada
waktu siang sepanjang bulan puasa, walaupun banyak masa bersama dan bergaul
bebas dengan isteri kita. Jadi, ibadah puasa kita harus disertakan juga dengan
niat untuk meneladani sifat-sifat Allah yang tiga itu sebagai contoh.
Namun harus diingat, sifat-sifat Allah tidaklah terbatas
kepada tiga perkara tersebut, tetapi paling kurang kita cuba mencontohi sifat-sifatNya
yang tiga ini melalui ibadah puasa. Kita mampu melakukannya kerana itulah ianya
dijadikan sebagai antara sebab-sebab yang membatalkan puasa.
Tahap kesedaran inilah yang akan membezakan nilai ibadah
puasa antara seorang dengan yang lain. Orang yang berpuasa, yang dalam dirinya
hadir unsur-unsur tersebut, tentunya akan mendapat ganjaran yang lebih
berbanding dengan yang hanya menahan diri dari lapar dan dahaga. Begitu pun,
tahap kesedarannya boleh berbeza-beza dengan orang lain: orang berpuasa yang
mempunyai tahap kesedaran yang lebih tinggi tentunya lebih baik dari orang yang
kesedarannya lebih rendah. Inilah sebabnya Allah memberitahu kita bahawa ibadah puasa adalah untukku yang
bermaksud hanya Allah yang menilai puasa seseorang.
No comments:
Post a Comment