Dalam kehidupan biasa, kita dibenarkan makan-minum, tetapi
ketika menjalani ibadah puasa, makan-minum adalah dilarang iaitu membatalkan
puasa. Maka jelaslah di sini bahawa puasa adalah ibadah yang melatih kita
menjadi seorang yang sedia patuh tunduk dengan larangan. Hanya orang yang
bersikap sabar sahaja yang dapat menerima larangan. Jadi larangan-larangan
Allah swt kepada orang yang berpuasa merupakan suatu pendekatan mendidik pengamalnya supaya
menjadi orang yang bersikap sabar.
Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang halal
hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang sabar sahaja. Manakan tidak,
makan-minum pada hukum asalnya adalah halal tetapi dalam bulan Ramadan Allah
mengharamkannya pula. Inilah ujian Allah. Hanya orang-orang yang sabar sahaja
dapat melakukannya. Hanya orang-orang yang benar-benar menyerah diri sepenuhnya
sahaja akan merelakan dirinya tunduk dengan perintah itu. Jika benar-benar
ikhlas maka akan diberi ganjaran pahala yang tidak terbatas.Satu ayat dalam al-Quran menyebut, Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan
pahalanya tanpa batas (Az-Zumar, 39: 10).
Orang sabar yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah orang
yang berpuasa - tanpa kesabaran adalah sukar untuk kita berpuasa. Sebagai
manusia, walaupun dalam keadaan berpuasa, masih mempunyai keinginan untuk
makan-minum pada waktu-waktu tertentu pada sianga hari. Namun apakah
motivasinya terus menahan diri dari keinginan itu? Tentu bukan kerana takut
atau malu dengan manusia lain kerana kita boleh sahaja bersembunyi dari
pandangan orang untuk makan atau minum, tetapi kita tetap sabar dan terus
berpuasa walaupun dalam keadaan terlalu ingin untuk makan-minum.
Nilai sabar dalam kehidupan biasa, menyumbang kepada
pembentukan hidup bermasyarakat yang teratur. Contohnya, dalam peraturan
jalanraya terdapat larangan-larangan yang harus dipatuhi demi keselamatan dan
ketenteraman bersama seperti peraturan lampu trafik, peraturan berbaris dalam
kesesakan di mana kita dilarang memotong Q, dan sebagainya. Walaupun pada
zahirnya ini adalah peraturan manusia, namun tujuannya adalah demi ketertiban
dalam menjalani hidup bersama orang lain. Jika setiap orang mematuhi
peraturan-peraturan yang sudah diterima pakai oleh orang ramai, maka akan
timbul suasana aman tenteram dan sejahtera. Dengan sikap sabar dalam diri
setiap orang, maka tidak akan berlaku perselisihan antara seorang individu
dengan individu lain, tidak juga berlaku rasa tidak puashati bagi orang yang menjadi mangsa tidak sabar. Peraturan-peraturan yang sudah diterima pakai oleh
sesebuah masyarakat sudah menjadi norma-norma kehidupan, melanggar kebiasaan
hidup ini akan dilihat sebagai suatu yang tidak wajar, tidak berakhlak. Jadi di
sini roh ibadah puasa telah kita jelmakan ke dalam hidup seharian secara
praktikal. Inilah antara tujuan atau matlamat ibadah puasa yang kita lakukan.
Sabar juga menjadi bekalan asas ke arah mencapai sesuatu
cita-cita. Hanya orang yang sabar akan berjaya, dan sentiasa sanggup
mempertingkatkan lagi pencapaiannya ke tahap yang lebih tinggi. Sebaliknya
orang yang tidak sabar akan cepat putus asa, tidak bersedia untuk mengorbankan
masa dan tenaganya untuk mencapai kejayaan sewajarnya. Dia akan kehilangan
cita-citanya. Banyak juga kerja-kerja yang memerlukan sabar. Hanya orang yang
sabar sahaja akan konsisten dengan tugas dan kerjayanya. Bukan semua orang
sanggup bersabar dalam tugas dan kerjayanya. Kerukunan rumahtangga, mengurus
anak dan keluarga, menjaga kebersihannya, juga memerlukan sabar. Di sini,
kesabaran adalah suatu ujian, yang harus dilalui dan diatasi. Jadi, sabar
adalah kunci kejayaan dalam banyak perkara kerana orang yang sabar memiliki
identitas yang jelas, pendirian yang teguh dan pertahanan mental yang tangguh. Jadi untuk apa jua perkara yang memerlukan
kesabaran, ingatlah peringatan Allah s.w.t. yang maksudnya,Hai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan
kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (diperbatasan negerimu), dan
bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu memperoleh kebahagiaan (ali-Imran,
200).
Sebenarnya dalam peribadi Rasulullah saw dan nabi-nabi
yang lainnya terdapat contoh yang jelas sifat kesabarannya. Malah ujian yang
dihadapinya lebih berat daripada ujian-ujian terhadap orang macam kita. Nabi
Muhammad saw sentiasa, ya sentiasa dianiaya, disiksa, dan diprotes oleh kaum
quraisy, Nabi Isa diganggu oleh Bani Israil, Nabi Nuh sentiasa berhadapan
dengan gangguan kaumnya, dan Nabi Ayub ditimpa penyakit. Tetapi apakah sikap para
nabi dan rasul ini. Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan, Seolah-olah saya masih teringat Rasulullah saw
ketika beliau melukiskan seorang Nabi yang terdahalu, ketika dipukul oleh
kaumnya hingga berlumuran darah, sampai mengusap darah dari wajahnya sambil
berkata: Ya Allah ampunkanlah kaumku, kerana sesungguhnya mereka itu tidak
mengerti (Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mu’min, 185).
Begitu sekali tahap sabar para nabi. Walaupun dipukul
sehingga berdarah, baginda tidak membalasnya, malah sebaliknya memohon Allah
mengampunkan kaumnya dengan bersangka baik bahawa mereka itu tidak mengerti.
Apakah yang menjadi kunci kepada sifat sabar? Apakah yang
mendorong kita agar mempunyai sifat sabar seperti para nabi dan rasul Allah?
Jawabnya ialah kesedaran. Sebagaimana yang tersebut dalam al-Quran, yang
maksudnya, Dan bagaimana engkau akan dapat bersabar atas
sesuatu, sedang engkau belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?
(al-Kahf, 68). Maksud di sini ialah hanya orang-orang yang mempunyai
pengetahuan tentang sesuatu perkara sahaja yang akan tahan sabar. Kesabaran
seseorang yang sedang menjalankan tugas hariannya, akan dapat memberikan
khidmatnya dengan cemerlang kerana dia menyedari bahawa Allah akan memberinya
ganjaran, di samping gaji yang diperolehinya setiap bulan. Tanpa kesedaran
begini, khidmat yang diberikan kepada pelanggannya tidak mungkin dapat mencapai
tahap cemerlang. Jadi kunci kesabaran ialah kesedaran, dan makrifat tentang
sesuatu. Hanya orang yang arif mengenai sesuatu perkara akan menjadikannya
bersikap sabar. Seorang petani yang arif tentang keperluan tanamannya akan
bersabar memenuhi keperluan tersebut, seperti membubuh baja dan menjaga dari
makhluk perosak, supaya dapat mengeluarkan hasil yang diharapkan. Begitu juga,
seorang yang arif tentang kenderaannya, seperti tahap kemampuannya,
kelemahannya dan keperluannya diservis apabila tiba waktunya, akan mempunyai
sebuah kenderaan yang sentiasa berkeadaan baik dan sempurna.
Bagi orang yang mengharap rahmat Allah swt, kunci
kesabaran ialah kecintaan kepada Allah swt. Orang-orang yang beriman dan
tinggi kecintaannya akan bersikap sabar dan tekun dalam setiap ibadah yang
dilakukannya. Sabar dalam mengahadapi sebarang dugaan. Sering disebut-sebut
bahawa ujian-ujian yang diturunkan kepada kita adalah tanda kecintaan Allah
kepada hambaNya, sebagaimana sabda Rasulullah saw, yang diriwayatkan oleh
Tarmizi, Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada
besarnya ujian (bala). Dan sesungguhnya Allah jika cinta kepada suatu kaum,
mereka diuji. Barangsiapa yang reda menerima ujian, maka baginya keredaan
Allah, dan siapa yang murka, maka baginya kemurkaan Allah (Tingkat Ketenangan
dan Kebahagiaan Mu’min, 188).
Jadi puasa adalah antara pendekatan yang Allah sediakan
bagi mencapai sifat sabar. Oleh kerana sifat sabar sangat-sangat diperlukan
dalam segala hal, baik yang menyentuh soal hablumminallah atau hablumminannas,
maka puasa diwajibkan, malah dijadikan sebagai salah satu rukun Islam bagi satu
pendekatan mendidik. Bersikap sabar dalam menghadapi larangan-larangan yang
dikenakan ketika menjalani ibadah puasa, akan menjadi kebiasaan bersabar juga
dalam segala hal dalam kehidupan. Ingatlah peringatan Rasulullah saw yang
sabdanya, Siapa yang berlatih bersabar, nescaya Allah akan
menyabarkannya (menjadikannya sabar) (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari sudut ilmu Sains
pun pernah disebutkan, latihan-latihan yang kita jalankan merupakan satu seni
menjinak-jinakkan sistem saraf. Jadi jika ibadah puasa kita dapat membentuk sikap sabar, insyaallah akan mendapat rahmat-Nya.
iklan:
GEL AMANI melegakan sakit lutut, membantu ibu dan ayah solat berdiri tanpa sakit lutut
Namun, apakah kita harus bersabar, redha sahaja dengan bekalan air yang jelas kotor, tercemar dengan logam berat, mikrob, sisa klorin, cacing halus dsb. Gunakan penapis HOFUNA ujiFILTER. 019-2248404
No comments:
Post a Comment