Dalam
posting yang lalu telah disebutkan bahawa dalam Islam asas kepada pembinaan
sesebuah masyarakat yang stabil ialah keluarga, bukan individu. Kali ini kita
akan melihat bagaimana caranya untuk membina kekeluargaan Islam.
Hubungan
keluarga Islam bukan hanya terdiri daripada ibu bapa dan anak-anaknya sahaja,
tetapi juga merangkumi datuk dan nenek, cucu, bapa saudara dan ibu saudara dan
anak-anak mereka sekali. Hubungan ini
dikukuhkan lagi oleh pelbagai undang-undang, misalnya undang-undang
pergantungan dan pewarisan.
Dengan
memelihara hubungan keluarga, pertalian antara satu generasi dengan generasi
berikutnya akan berterusan dan terpelihara. Generasi yang mendatang dapat belajar tentang budaya dan tabiat Islam dengan mudah, ahli-ahli isi rumah
bertindak sebagai sahabat dan rakan sepermainannya, lebih memberangsangkan
lagi setiap ahli dalam sesebuah keluarga akan sentiasa berada dalam iklim yang
harmoni dalam suasana yang prihatin dan perkongsian ruang dan masa. Pada masa yang sama akan terbuang sikap
indi-vidualisme, egotisme dan kesunyian dalam kehidupan keluarga Islam.
Keluarga
Islam juga sentiasa bersedia bertukar ganti dalam peranannya, misalnya
kanak-kanak yang ditinggalkan ibu atau bapanya atas sesuatu sebab, atau mencari
nafkah di luar rumah, akan terbela dan terjaga dengan baik, sedia
bergotong-royong dalam suasana keharmonian, walaupun terdapat perbezaan yang
jelas antara seorang ahli dalam satu-satu keluarga, atau antara sebuah keluarga
dengan keluarga yang lain dari sudut status sosioekonomi atau darjat, atau
berbeza dari segi kemampuan dan keupayaan yang berkait dengan kejadian
semulajadi manusia yang Allah jadikan.
Sikap ibu bapa terhadap anak-anak
Undang-undang Islam menghendaki ibu bapa mengambil tanggungjawab terhadap anak-anak, memberi pendidikan dan melatih mereka. Islam menetapkan
tanggungjawab ibu bapa adalah bermula sejak seseorang anak itu dalam kandungan
ibunya lagi. Tanggungjawab ini berterusan sehingga ke tahap memilih calon
isteri atau suami. Ibu bapa dibenarkan meletakkan kriteria-nya seperti
ketaqwaannya, keturunannya, kecantikannya dan kekayaannya, namun mengikut
Rasulullah saw ketakwaannya adalah yang paling penting. Jadi bolehlah
disimpulkan bahawa tanggungjawab ibu bapa
bermula sejak pemilihan pasangan sebelum perkahwinan itu dari sudut
kepercayaan, sikap dan perangainya. Jadi seintim manapun satu-satu pasangan
itu, Nabi menasihatkan agar yang dapat melahirkan anak keturunan yang soleh.
Seseorang bakal ibu harus memastikan gaya hidup Islam sama ada penampilan
fizikal dan psikologinya, jangan sampai menjejas-kan janin yang dikandungnya.
Umpamanya harus menjauhkan dirinya dari mengambil dadah yang berbahaya. Dan
sudah tentu sebagai seorang Muslim, menjauhi juga dari perkara-perkara yang
dilarang seperti alkohol, merokok atau suntikan kokain. Sebagai persediaan
menyambut kelahiran anaknya secara keseluruhan bakal ibu perlu memastikan
bahawa dirinya sendiri sentiasa dalam persekitaran dan emosi yang stabil.
Selepas kelahirannya pula peranan sebagai ibu lebih mencabar
lagi. Menurut al-Quran sebelum usia dua tahun harus disapih dari susuannya. Peringkat usia dua atau tiga tahun itu adalah
permulaan asuhan kanak-kanak. Ini menggambarkan bahawa penjagaan
kebajikan, asuhan, dan pembangunan pertumbuhan seseorang anak itu bukanlah
tanggungjawab awam walaupun dengan alasan bagi membolehkan wanita mencebur diri
dalam aktiviti sosio-ekonomi. Islam bertegas menghendaki ibu bertanggungjawab
bagi menjamin keutuhan institusi kekeluargaan, yang bakal menjadi unit asas
sesebuah masyarakat yang kukuh dan stabil.
Sebagai bapa pula, harus
mempunyai sikap mengambil bahagian yang besar dalam proses tarbiyyah kanak-kanak itu, yang bermaksud mengujudkan iklim untuk
pembesaran dan perkem-bangannya. Perkataan tarbiyah
bermaksud memiliki, menjaga dan menghargai. Kesemuanya maksud tersebut ini
membayangkan sensitiviti ke arah pembesaran kanak-kanak yang mencakupi
keperluan jasmaninya dan kapasiti emosinya. Dengan demikian akan dapat
menumbuhkan keupayaan dan membangkitkan keyakinan
diri, membangkitkan keberanian menegakkan kebenaran dan menggalakkan
kreativiti dan inovasi. Ia juga membayangkan keupayaan untuk amanah dan tidak menyekat, bersikap tegas apabila
diperlukan dan mengenakan sekatan apabila perlu. Peranan ibu bapa dalam
pendidikan, pembentukan dan pembangunan kanak-kanak ditekankan dalam hadis yang
terkenal, Setiap kanak-kanak dilahirkan
dalam keadaan semulajadi yang baik; ibu
bapanya yang menjadi-kan dia seorang Yahudi atau Nasrani.
Mengikut skop jaringan
hubungan yang dikehendaki Islam, bukan sahaja ibu bapa yang memegang peranan
dalam tarbiyyah generasi baru, tetapi
juga datuk dan nenek, bapa saudara dan ibu saudara, adik-beradik dan
saudara-saudara, jiran-jiran dan guru-guru juga, malah sekitarannya juga.
Sebagai
datuk dan nenek, boleh menggunakan pengalaman-nya untuk membentuk kanak-kanak
yang boleh menggembirakan ibu bapanya.
Lihatlah bagaimana Nabi menunjukkan contoh dalam penjagaan sebagaimana baginda menjaga anak perempuan baginda
Fatimah dan kasih sayang baginda terhadap anak-anak baginda, Hasan dan Husain.
Malangnya fenomena menunjukkan ramai kanak-kanak hari ini dinafikan haknya
lantaran ibu bapa meng-utamakan kecemerlangan kerjaya. Dalam situasi yang tidak
boleh dinafikan ada anak-anak yang tidak
mempunyai datuk nenek yang menghargai dan menyayangi mereka lantaran
berjauhan.
No comments:
Post a Comment