Sebuah hadis dari Imran bin Hussain ra, katanya, Pada suatu kali
Rasulullah saw mengimami kami sembahyang Zohor atau Asar; setelah selesai
sembahyang beliau bersabda, 'Siapakah tadi di belakangku yang menjaharkan
bacaan Sabbihisma rabbikal a'la', jawab seorang sahabat, 'Aku, maksudku hanya
semata-mata untuk kebaikan'. Sabda Rasulullah saw, 'Aku tahu maksudmu baik,
tetapi kamu mengganggu orang lain'.
Hadis ini menggambarkan larangan kepada orang yang sedang sembahyang
berjemaah, iaitu menjahar (membaca kuat). Pada asalnya larangan ini merupakan
hukum bagi orang yang mendirikan sembahyang. Bagaimanapun dalam kehidupan
seharian, larangan ini harus dihidupkan. Hukum ini mengajar kita etika jangan
membuat gangguan suara. Bayangkan, ketika kita berada dalam sebuah restoran
yang aman damai, tiba-tiba ada sekumpulan orang yang bersembang dengan suara
yang kuat. Tentunya cara sembang itu mengganggu orang lain. Inilah antar nilai
etika dalam ibadah sembahyang.
Pendek kata banyak hukum sama ada yang rukun atau yang sunat dalam
ibadah sembahyang adalah mengajar erti beretika ketika bersama dengan orang
ramai, sama ada di tempat yang tertutup atau terbuka. Contoh di atas itu tadi
adalah antaranya. Jadi untuk mendapat rahmat dari ibadah sembahyang kita, agar
sembahyang kita minta syafaat dari Allah swt di akhirat nanti, aspek-aspek
pengajaran daripadanya harus dihidupkan dalam kehidupan seharian kita.
Apakah benar ada orang yang sembahyangnya ditolak?
Sebuah hadis dari Tarmizi dan Ahmad menyebut,
‘Tiga orang yang sembahyangnya tidak sampai
melampaui telinganya, iaitu seorang budak
yang melarikan diri sampai dia pulang kembali, seorang isteri yang
semalaman suaminya murka kepadanya, dan seorang imam yang mengimami suatu kaum
sedangkan kaum itu tidak menyukainya’.
Sebuah hadis lain menyebut
yang maksudnya,
‘Segala amal akan datang pada hari
qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), antaranya sembahyang
datang lalu berkata, ‘Ya Tuhanku akulah sembahyang’; Allah Taala berfirman
(kepadanya) ‘Tujuan engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup)’; dan
(selepas itu) datang pula sedekah, puasa, dan amal-amal yang lain, semuanya itu
Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau
sahaja belum cukup’; kemudian datang pula Islam lalu berkata, ‘Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan yang bernama Assalam,
dan akulah Islam’; maka Allah Taala berfirman (kepadanya), ‘Tujuan
engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan engkaulah
jua aku memberi balasan’. (Mustika Hadis Jilid I,
42)
Hadis-hadis ini menggambarkan beberapa golongan
yang sembahyangnya ditolak. Tertolaknya sembahyang mereka disebut oleh Allah
swt tujuan engkau baik tetapi engkau
sahaja belum cukup.
Sembahyang yang diterima ialah yang menegakkan
Islam sebagai way of life.
‘Sesiapa yang menurut jalan yang lain dari
apa yang disyariatkan Allah sebagai agamanya, maka tidak sekali-kali akan
diterima daripadanya…’. (al-Imran, 3: 85)
Itu sebabnya:
·
Sembahyang tetapi lari dari tanggungjawab seperti yang dilakukan oleh budah
lelaki itu,
·
Sembahyang tetapi tidak mendidik si isteri itu menjadi seorang yang taatkan
suaminya,
·
Sembahyang tetapi tidak mendidik dirinya menjadi seorang pemimpin yang
disukai ramai.
Justeru ibadah sembahyang kita biarlah yang dapat
menegakkan Islam.
Seseorang yang sedar, dan berpegang teguh kepada ayat yang maksudnya Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan
untuk beribadah kepada-Ku akan sentiasa menyedari bahawa Islam adalah cara
hidup, dan setiap percakapan dan perilaku adalah berkait dengan Islam.
Itulah juga
sebabnya Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya
menyebut,
‘Di antara kefahaman terbaik kita terhadap ajaran agama Allah ialah apabila kita mengetahui tentang tujuan
pemberian beban kewajipan yang mesti kita lakukan.’ (Fiqh Keutamaan, 48)
Petikan ini menghendaki kita mengenali tujuan
ajaran agama. Jika kita diajar supaya mendirikan sembahyang maka kenalilah
tujuannya.
Antara aspek yang sangat penting dalam aktiviti harian kita menjaga
etika kerana ini adalah nilai-nilai yang terlihat dalam kehidupan kita.
Kenalilah apakah nilai etika yang berkait dengan ibadah sembahyang, dan
jadikanlah sebagai amalan hidup kita supaya sembahyang kita tidak ditolak. Rugi
besarlah jika ibadah yang kita lakukan 5 waktu sehari semalam, dengan penuh
gigih dan dijaga waktunya tetapi ditolak atas sebab-sebab kita tidak cukup
ilmu.
Wallahu aalam.
No comments:
Post a Comment