Ibadah atau ibadat dari sudut bahasa ialah merendah diri, tunduk, patuh, taat,
menghina diri dan memperhambakan diri kepada sesuatu. Dari sudut syara ialah
taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah swt.
Jadi bolehlah disimpulkan, ibadah ialah pengabdian diri sepenuhnya kepada
Allah, mengikut peraturan, melakukan suruhan dan meninggalkan larangan Allah
swt, sebagaimana ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.
Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir
hayat. Ia merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah swt.
Mengikut bahasa ibadah ialah tunduk patuh. Maksud ini tercatat dalam beberapa blog yang saya
temui. Satu blog mencatatkan, Kamus al-Mu’jam al-Wasith memberi erti ibadah sebagai
tunduk kepada Tuhan yang menciptakan,
manakala dalam satu blog yang lain pula mencatatkan kenyataan Imam al-Qurtubi
yang menyebut asal ibadah ialah tunduk
dan menghinakan diri. Satu blog lagi mencatatkan kenyataan Ibnu Katsir
menyebut ibadah adalah taat kepada Allah
dengan melaksanakan hal-hal yang diperintahkan dan menjauhi hal-hal yang
dilarang. Ibnu
Taimiyah pula menyebut, Ibadah ialah
sesuatu yang mencakupi semua perkara yang dicintai dan diredhai Allah berupa
perkataan atau perbuatan yang nampak atau pun tidak nampak.
Daripada
takrif-takrif ini bolehlah disimpulkan bahawa ibadah ialah apa sahaja amalan-amalan yang melambangkan
tunduk patuh atau mematuhi perkara-perkara
yang diperintahkan dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang.
Takrif Ibnu Taimiyah itu menunjukkan
konsep ibadah yang lebih luas lagi, iaitu mencakupi hal-hal yang berkenaan dengan perkataan dan perbuatan yang nampak atau
tidak nampak. Ini menggambarkan bahawa ibadah itu mencakupi pula hal-hal yang
tidak Nampak, iaitu yang terlintas
dalam hati. Kesimpulnya bahawa ibadah itu adalah mencakupi niat, perkataan dan perbuatan seseorang
yang dilakukan dalam keadaan tunduk patuh kepada Allah. Dengan kata lain
bahawa ibadah itu ialah apa sahaja yang kita lakukan sama ada yang berupa niat,
percakapan atau perbuatan, tetapi yang dilaksanakan mengikut kaedah yang
diredhai Allah.
Apakah yang dimaksudkan dengan tunduk patuh itu, dan apakah caranya
tunduk patuh itu! Kita tangguhkan dahulu. Kita lihat dahulu beberapa ayat yang
menyentuh soal ibadah.
Secara tersirat Al-Qur'an
menyebut pengertian ibadah itu dengan menggabungkan tiga ayat berikut:
1.
Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan
untuk mengabdi diri kepada-Ku (Adz-Zariyat, 51: 56).
2.
Dan (Aku
perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. Ini adalah seruan supaya manusia menjalani hidup dalam keadaan sentiasa
berada pada siratal mustaqim atau jalan yang lurus (Yasin, 36: 61)
3.
Dengan yang
demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan
kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. (Az Zukhruf, 43: 43).
Dengan demikian apa yang
disebut dengan manusia hidup beribadah
kepada Allah itu ialah manusia menjalani hidupnya dalam keadaan sentiasa
berpegang teguh kepada wahyu Allah iaitu al-Quran. Jadi pengertian ibadah menurut Al Quran tidak hanya
terbatas kepada menunaikan Rukun Islam sahaja, tetapi mencakupi aspek kehidupan.
Hal ini disandarkan pula kepada satu ayat lain yang maksudnya, ‘Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman,
lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai
sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan
sendiri mengenai urusan mereka’ (al Ahzab, 33: 36). Frasa kata urusan
mereka itu adalah urusan hidup. Jadi ibadah adalah way of life yang diasaskan kepada konsep tunduk patuh.
Demikian secara ringkas konsep ibadah. Yang sangat penting untuk diambil tahu ialah mengapa kita mesti beribadah. Kepentingannya adalah kerana kebanyakan kita mengambil sikap negatif, umpamanya, disuruh sembahyang maka sembahyanglah kita, dilarang makan bangkai maka kita tidak melakukannya, dan sebagainya. Inilah sikap negatif namanya.
Apabila ibadah bermaksud tunduk patuh maka orang yang hidupnya dalam keadaan tunduk patuh
itu dikatakan orang yang beribadah.
Bagi golongan ini setiap perlakuannya sentiasa dijaga supaya tidak meninggalkan
perintah dan melanggar larangan Allah swt, sama ada dalam hal-hal ketuhanan
mahupun yang keinsanan.
Mengapa mesti beribadah.
Orang yang tidak faham sebab-sebabnya mungkin membuat
tanggapan bahawa Allah swt mahu membulinya, mahu menyusahkan, merugikan dan
sebagainya. Jika kita tanya kepada orang yang tidak menerima adanya Tuhan Allah
maka itulah tanggapan mereka. Tetapi pernahkah kita bertanya diri sendiri
misalnya apalah yang Allah perolehi dari perbuatan membuli itu. Allah swt tidak
menghendaki apa-apa dari kita malah kita yang sangat menghendaki Allah dalam
serba serbi, seperti yang disebut dalam ayat 5 surah al-Fatihah. Justeru
apabila Allah menghendaki kita supaya tunduk
patuh kepada-Nya maka kita harus bersangka baik kepada perintah-Nya.
Allah swt menjadikan kita, dan meletakkan kita di bumi
ini, lengkap dengan segala keperluan seperti adanya. Dengan sifat-Nya yang ar-Rahman yang disebut dalam ayat 3
surah al-Fatihah itu Allah sediakan apa sahaja yang diperlukan untuk kehidupan
manusia dan sekalian makhluk. Sama ada kita Muslim atau bukan Muslim Allah
sediakan sama rata, terpulanglah kepada setiap orang mendapatkannya sebanyak
mana sekalipun. Pemberian-Nya adalah untuk semua.
Namun ada antara keperluan yang disediakan itu yang
mungkin tidak sesuai dengan jasmani manusia, malah sebahagiannya pula boleh
memudaratkan. Tumbuhan misalnya, bukan kesemuanya boleh dimakan kerana
sesetengahnya tidak sesuai untuk jasmani kita kerana beracun, memabukkan,
menghilangkan kewarasan akal dan sebagainya. Lalu Allah melarang memakannya.
Begitu juga haiwan. Dari sini maka lahirlah peraturan-peraturannya. Yang
dilarang itu adalah untuk kebaikan manusia, sementara yang diperintahkan itu
pula adalah yang diperlukan.
Mungkin akan ada orang yang bertanya misalnya mengapa
Allah mencipta pokok ketum, ular berbisa dan sebagainya tetapi dilarang
memakannya. Tentu ada tujuannya. Pokok ketum itu untuk perubatan, manakala ular
itu bagi tujuan keseimbangan alam sekitar melalui sistem rantaian makanan (ular
boleh digunakan mengurangkan bilangan tikus perosak di ladang dan sebagainya).
Sekadar satu dua contoh sahaja.
Perkataan Islam berasal
dari perkataan salam bererti
sejahtera. Jadi apabila kita diperintahkan supaya tunduk patuh (beribadah) tujuannya
adalah untuk mencapai kesejahteraan. Dan bagi umat Islam pastinya adalah untuk kesejahteraan dunia dan akhirat. Allah
yang menjadikan kita maka Allah-lah yang Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan
jasad dan rohani diri kita. Adalah tidak manasabah seseorang yang tidak tahu
menahu tentang sesuatu perkara lalu dia yang hendak menyediakan peraturannya atau
manualnya. Jadi bagi mencapai maksud kesejahteraan itu tadi Allah menyediakan
peraturan-peraturan hidupnya.
Setiap hukum syariat ada tujuan dan alasannya. Jadi
hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram itu ada muslihat di sebaliknya.
Ianya bukan hukum untuk kita mencari pahala atau menjauhi dosa. Pahala itu
adalah ganjaran bagi orang-orang yang mengikut perintah, dan balasan dosa bagi
yang melanggar larangan. Dengan maksud lain ialah Allah tidak menganjurkan kita
agar mencari pahala tetapi berjanji bahawa sesiapa yang melakukan kebajikan
akan diberi pahala.
Hikmah di sebalik perintah dan larangan
Peraturan Allah ada dua iaitu perintah dan larangan. Perintah-Nya
adalah merupakan keperluan untuk manusia, maka harus dilaksanakan bagi tujuan
mencapai kesejahteraan, manakala larangan-Nya pula adalah merupakan
pantang-larang yang harus dielakkan kerana merosakkan kesejahteraan. Jadi
segala peraturan ini adalah untuk kesejahteraan manusia, iaitu kesejahteraan
jasmani dan rohani.
Seseorang yang mematuhi peraturan ini akan sejahtera
jasmani dan rohaninya. Jadi jika setiap orang sejahtera jasmani dan rohaninya,
secara kolektifnya pula akan melahirkan iklim kehidupan yang sejahtera untuk
sekalian manusia dan makhluk keseluruhannya. Inilah sebabnya manusia diseru
supaya akur dan tunduk patuh kepada peraturan-peraturan yang disediakan. Mereka
yang tunduk patuh kepada peraturan Allah ini dikatakan sebagai orang yang mengabdikan diri kepada-Nya. Inilah
sebabnya Allah menyeru manusia dengan satu ayat, iaitu
yang maksudnya, Tidaklah Aku mencipta jin dan manusia
melainkan agar beribadah kepada-Ku’. (ad-Zariyat, 51: 56).
Kita biasa mendengar kenyataan yang menyebut setiap hukum syariat ada tujuan dan
alasannya. Hukum-hukum wajib dan sunat bukan setakat alat untuk meraih
pahala atau menjauhkan dari dosa, manakala hukum haram dan makruh pula bukan
bertujuan untuk memenjara. Kedua-duanya mempunyai tujuan dan alasan, yang
destinasinya adalah kesejahteraan.
Hukum perintah iaitu wajib dan sunat itu adalah demi
untuk kebaikan manusia, manakala hukum-hukum larangan itu bagi menjauhkan
risiko dan kerosakannya. Sementara itu ada satu hukum lagi iaitu harus iaitu
hukum yang membiarkan kita sama ada mahu melakukan atau mengelakkannya kerana
tidak ada kebaikan atau keburukan melakukannya.
Mungkin boleh dibandingkan kedudukan ini dengan
seorang ahli sukan seperti pemain badminton atau bola sepak. Dia dipilih kerana
dilihat mempunyai bakat, ada potensi untuk maju dan berjaya. Lalu disediakan
program untuk mencapainya. Antaranya dijaga dari aspek-aspek permakanannya,
kesihatannya, waktu latihan dan rehatnya; dia juga tertakluk kepada peraturan,
yang mana boleh dan yang mana tidak boleh. Kesemuanya ini adalah untuk kebaikan
dan kejayaannya. Jadi perintah dan larangan Allah itu adalah merupakan satu
program yang diatur oleh Allah demi untuk kebaikan dan kesejahteraannya.
Rasionalnya ialah bahawa Dia yang mencipta kita, Dia
juga yang Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan jasmani, rohani dan akal kita,
jadi tunduk patuh kepada perintah-Nya dan larangan-Nya itu tentu
berkaitan dengan tujuan untuk mencapai kesejahteraan jasmani, rohani dan
akal itu tadi. Dengan kata lain tunduk
patuh itu adalah bagi mengekalkan asal kejadian kita yang terbina daripada jasmani dan rohani. Jadi ini
adalah caranya yang Allah swt
sediakan untuk menjamin kesejahteraan manusia.
Jadi, perintah dan larangan itu
adalah panduan dan tatacara untuk mencapai kesejahteraan manusia: perintah-Nya adalah untuk kebaikan (maslahah) manusia, manakala larangan-Nya pula adalah untuk mengelakkan
manusia dari sebarang gejala buruk dan kerosakan (mafsadah).
Satu contohayat perintah ialah ayat 223 surah
al-Baqarah,
‘Dan kerjakanlah (amal
yang baik) untuk dirimu’.
Yang bermaksud buatlah apa sahaja yang mendatangkan kebaikan untuk diri kita. Sehubungan dengan
perintah ini ialah jangan pula kita membuat sesuatu yang menjurus kepada mafsadah. Amalan yang bagaimanakah boleh dikira sebagai baik dan amalan
yang boleh mendatangkan mafsadah! Kita
akan ketemui kriteria menentukannya dalam bab 4 nanti. Jika
kita dapat merealisasikan peritah ini kita akan mendapat kebaikan dan
kesejahteraan hidup. Perkara ini akan disebut dalam bab 4 di bawah perkara
natijah.
Selain itu dalam al-Quran ada ayat yang menyebut
bahawa manusia dicipta dan diletakkan di bumi ini adalah untuk menjadi khalifah bumi. Sebagai khalifah manusia
harus dijaga kesihatan dan kesejahteraannya supaya dengan itu dapat mengujudkan
iklim yang sejahtera untuk manusia dan sekalian makhluk.
Antara perintah beribadah ialah
seperti firman-Nya dalam surah az-Zariat,
Antara lain lagi ialah
‘Padahal mereka tidak
disuruh kecuali supaya menyembah Allah
dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama’. (al-Bayinah, 98: 5)
Jadi, bagi orang-orang Islam, inilah antara
sebab-sebabnya mesti beribadah. Bagaimanapun
seruan ini bukan ditujukan kepada orang-orang yang Islam sahaja tetapi
termasuk juga orang-orang yang belum Islam
mahupun yang kafir. Justeru, siapa pun anda, seharusnya tunduk patuh kepada perintah beribadah
itu jika ingin mencapai kesejahteraan.
‘Maka
beribadahlah kepada Allah dengan memurnikan ketaatan (mu) untuk-Nya’. (az-Zumar, 39: 21)
Dengan logik akal sahaja pun kita
dapat membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya manusia ini diletakkan di
bawah kuasa dan perintah manusia yang sifatnya membujur lalu melintang patah,
iaitu orang yang akan berbuat apa sahaja yang dia mahu, bagaimana cara yang dia
mahu, bila-bila masa yang dia mahu dan di mana sahaja yang dia mahu. Justeru
Islam menghendaki setiap orang harus mengambil peranan sebagai khalifah, dengan
cara menjalani kehidupan di bawah perintah dan larangan Si Pencipta.
Bolehkah manusia merangka peraturan hidupnya sendiri. Sesiapapun akan menjawab tidak kepada persoalan yang satu ini, kerana besar kemungkinan hasilnya akan cenderung (bias) kepada naluri perekanya. Jika direka oleh sesuatu bangsa hasilnya akan bias kepada bangsa itu sendiri. Dan ini tidak semestinya serasi pula dengan bangsa-bangsa lain. Apakah penting untuk difikirkan sama ada serasi atau tidak! Saya tinggalkan buat saudara/saudari mencari sendiri jawapannya.
Bolehkah manusia merangka peraturan hidupnya sendiri. Sesiapapun akan menjawab tidak kepada persoalan yang satu ini, kerana besar kemungkinan hasilnya akan cenderung (bias) kepada naluri perekanya. Jika direka oleh sesuatu bangsa hasilnya akan bias kepada bangsa itu sendiri. Dan ini tidak semestinya serasi pula dengan bangsa-bangsa lain. Apakah penting untuk difikirkan sama ada serasi atau tidak! Saya tinggalkan buat saudara/saudari mencari sendiri jawapannya.
No comments:
Post a Comment