Qada’ ertinya kehendak (kehendak Allah), dengan lain
perkataan ialah hajat. Jadi qada’ itu
ialah hajat Allah swt menjadikan sesuatu. Manakala qadar itu adalah sukatannya
atau biasa disebut ciri-ciri sesuatu ciptaan.
Kita ambil satu contoh
ciptaan Allah yang berada di depan mata iaitu air. Ujudnya air itu adalah kehendak atau hajat Allah menjadikannya. Ini adalah qada’ Allah swt. Qadarnya
atau sukatannya ialah ciri-ciri air
itu. Ilmu sains mengklaskan air itu adalah sebagai bendalir yang tidak hidup.
Ciri-ciri air antaranya ialah cenderung mengalir ke tempat yang lebih rendah,
sentiasa mengalami proses sejatan menjadi wap dan bergerak naik ke atas, wap
air yang tersejuk akan mengalami satu proses lain iaitu pelowapan yang hasilnya
ialah hujan.
Ciri-ciri air itu tadi
berkekalan sampai bila-bila, tidak mungkin berubah. Misalnya air tidak akan
berhenti meng-alir, atau sebaliknya mendaki ke tempat lebih tinggi. Jadi air
berterusan tunduk patuh dalam keadaannya yang sedia ada.
Sesetengah ulama’
menyebut bahawa qada’ ada dua jenis, iaitu qada’ Mubram dan qada’ Muallaq.
Qada’ Mubram ialah ketentuan Allah yang pasti berlaku, dan tidak dapat dihalang
oleh sesuatu apapun. Misalnya kematian.
Qada’ Muallaq ialah
ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu
perkara yang lain. Contohnya lapar. Kelaparan boleh dielakkan dengan makan.
Jadi air itu tadi adalah contoh qada’ mubaram.
Qadar ialah sukatannya ialah ciri-ciri air itu.
Mengikut sains air itu adalah bendalir yang tidak hidup. Ciri-ciri air
antaranya ialah cenderung mengalir ke tempat yang lebih rendah, sentiasa
mengalami proses sejatan menjadi wap dan bergerak naik ke atas, wap air yang
tersejuk akan mengalami satu proses dipanggil pelowapan yang hasilnya ialah
hujan.
Satu contoh lain ialah
tumbuhan. Qada’ Allah ialah mencipta tumbuhan. Sukatannya ialah seperti yang
dijelas-kan oleh sains, antaranya ialah pucuknya cenderung mencari sumber
cahaya matahari (ini disebut fototropism) manakala akarnya pula cenderung
mencari bumi (disebut geotropism). Ketetapan yang ditentukan Allah ialah
membina makanan untuk manusia dan haiwan melalui proses fotosintisis. Air dan
tumbuhan berterusan tunduk patuh dalam keadaannya mengikut sukatan yang
ditentukan.
Taqdir (atau takdir)
ialah kesan dan akibat dari qada’ dan qadar itu tadi. Misalnya banjir. Banjir
adalah kesan dari sifat atau ciri-ciri air yang cenderung mencari tempat yang
lebih rendah. Air yang mengalir ke tempat rendah itu tadi akan berkumpul di
tempat yang paling rendah pada satu-satu masa. Jika jumlahnya melebihi adat
maka berlakulah banjir.
Tanah runtuh adalah kesan
dan akibat dari beberapa qada’ dan qadar. Ianya melibatkan air dan daya tarikan
graviti. Ianya melibatkan air dan daya tarikan graviti. Tanah runtuh adalah
disebabkan oleh pergerakan tanah dari atas ke tempat yang lebih randah. Ini
adalah kesan-akibat (takdir) dari graviti itu. Pergeraan tanah berlaku kerana
air dari atas bukit bergerak turun menyelinap ke dalam rongga-rongga tanah yang
tujuannya mencari tempat yang lebih rendah. Keadaan ini menyebabkam tanah
menjadi longgar, dan daya tarikan graviti pula menariknya ke bawah, maka
terjadilah gelongsoran tanah yang dipanggil tanah runtuh itu.
Satu contoh lagi misalnya
kencing manis. Kencing manis adalah disebabkan oleh kelenjar insulin iaitu
pankreas yang tidak normal. Oleh kerana tidak normal maka ianya tidak dapat
mengeluarkan insulin yang mencukupi untuk meng-atur paras gula dalam darah.
Lebihan gula dalam darah menyebabkan seseorang itu kena kencing manis.
Sesetengah orang pula mempunyai pankreas yang terlalu aktif mengeluarkan
insulin berlebihan. Kesan dan akibatnya ialah hypo iaitu paras gula dalam darah menjadi lebih rendah dari kadar
biasa.
Bencana: apakah yang harus
diredhai. Apabila seseorang ditimpa musibah banjir selalunya kita dengar ucapan sabarlah atau redhalah dengan
ketentuan Allah. Betul-kah pemikiran sebegini. Sebenarnya
apakah bendanya yang hendak kita redhai. Adakah kita meredhai musibah banjir
itu!
Frasa kata redhalah itu seolah-olah menghendaki
kita agar menerima sahaja apa yang berlaku. Dengan kata lain ianya bermaksud apa yang boleh kita buat, kita terima
sahajalah. Adakah ini sikap yang harus kita ambil terhadap sesuatu bencana!
Adakah munasabah kita dikehendaki redha
mendapat musibah. Inilah implikasi yang terbit dari silap faham tentang qadar,
qadar. Yang harus kita redhai ialah qada’ dan qadar air itu.
Qada’
dan qadar adalah ketetapan atau ketentuan Allah swt. Bagi manusia ianya boleh dilihat sebagai peraturan, peringatan, amaran dan sebagainya. Misalnya, kita telah
bincangkan dengan ketentuan Allah
bumi ini berpusing dua puluh empat jam sehari, walaupun berat boleh terapung dan berada dalam orbitnya, bumi
mempunyai daya tarikan graviti, tumbuhan memerlukan cahaya matahari
untuk fotosintisis dan membesar. Bagi makhluk yang tidak hidup juga mempunyai tabii masing-masing. Ketentuan-ketentuan
inilah qada’ dan qadar bagi
makhluk-makhluk tersebut. Kesemua-nya ini kita namakan sunnatullah.
Ketentuan-ketentuan Allah
swt ini akan memberi kesan dan akibat sama ada dengan sendirinya, atau dalam
bentuk pakej dua tiga ketentuan. Inilah apa yang selalu disebut dengan frasa
kata yang dikehendaki-Nya. Jadi
jangan silap faham bahawa maksud yang
dikehendakinya itu ialah Allah
memilih-milih sasaran tertentu untuk dijadikan mangsa sesuatu peristiwa. Misalnya, hari
ini dan pada saat anda membaca ini Allah memilih Si A itu akan mengalami
stroke, besok pula Allah akan memilih Si B pula akan demam, dan sebagainya.
Stroke berlaku kepada seseorang
adalah kesan dan akibat dari perbuatan
manusia sendiri, yang melanggar ketentuan Allah. Maknanya segala sesuatu
yang terjadi dan peristiwa-peristiwa yang berlaku adalah akibat daripada tindakan-tindakan
manusia yang bertentangan dengan ketentuan dan ketetapan Allah swt.
Misalnya,
katalah Allah telah menetapkan bahawa sesiapa yang tidak mengamalkan diet
seimbang akan mendapat penyakit, jadi apa yang berlaku kepada A tadi adalah
kesan dan akibat dari ketetapan ini. Bagi Si B pula, jika Allah telah menetapkan
orang yang dijangkiti kuman akan demam, maka demam B itu adalah kesan
dan akibat dari ketetapan ini.
Jasad
manusia terbina daripada sistem otot, tulang, sistem saluran darah, sistem sarap, sistem pernafasan, sistem
perkumuhan, sistem penghadaman, dan sebagainya. Pendek kata seseorang
manusia itu dijadikan mengikut sistem anatomi masing-masing – kekuatan dan
kelemahan masing itu adalah ketetapan Allah. Inilah faktor yang menentukan
perjalanan, gerak-geri, dan kelakuannya.
Dengan segala ketetapan
itu manusia hanya akan dapat bergerak, kuat-lemah, sihat-sakit, cerdik-moron
atau apa sahaja bergantung kepada sistem anatomi itu tadi. Inilah yang
dimaksudkan yang dikehendaki-Nya. Jadi manusia
tiada pilihan lain. Misalnya manusia tidak boleh mengubah-ansur dirinya
menjadi kuat berlari, mengubah otaknya supaya dapat mengesan gelombang radio,
mengesan tanda-tanda akan berlakunya tsunami sepertimana ikan di laut dan
sebagainya.
Kelajuan atau kekuatannya berlari juga adalah tertakluk kepada sistem-sistem
yang dikurniakan-Nya. Misalnya jika Allah menetapkan seseorang itu mempunyai
peparu yang kecil dan tidak cekap pula, kesannya ialah orang ini tidak boleh
berlari jauh misalnya.
Ketetapan
Allah adalah mengikut qada’ dan qadar tertentu: qada’ itu pemberian-Nya, manakala qadar adalah
ciri-ciri sukatannya, kualiti,
kualitinya, manakala kesan dan akibatnya dinamakan takdir.
Contohnya dalam kejadian
tanah runtuh. Tanah runtuh ada-lah kesan dan akibat (takdir) dari beberapa ketetapan
yang berikut:
· Graviti, yang sifatnya ialah mempunyai kuasa tarikan. Setiap benda akan
tertarik ke bawah oleh graviti,
· Air, yang sifatnya cenderung mencari tempat yang lebih rendah, molekulnya
halus dan boleh menyelinap di celah-celah butiran tanah,
· Momentum, yang sifatnya adalah bergantung kepada formula ms (m ialah berat, dan s ialah kelajuan pergerakan), jadi benda
yang berat dan bergerak laju akan menghasilkan
momentum yang tinggi.
Graviti, air dan momentum adalah qada’
Allah swt, dengan sifat-sifatnya seperti
yang tersebut; qadarnya: ditempat
yang lebih tinggi tarikan graviti semakin berkurangan, bagi air lebih banyak air akan menghasilkan momentum yang
lebih besar kerana lebih berat.
Jika ketiga-tiganya hadir pada satu-satu tempat seperti di lereng-lereng bukit
yang gondol maka terhasillah kesan dan
akibatnya (takdir). Mengapa lereng
bukit? Mengikut ilmu sains daya yang melawan tarikan graviti lebih lemah
kerana curam (bersudut) jika dibandingkan dayanya di tanah rata – ini
juga satu qadar bagi daya tahan
tarikan graviti.
Jadi takdir
adalah kesan dan akibat dari qada dan qadar.
Allah tidak menentukan takdir seperti banjir, tanah runtuh, kencing manis dan
sebagainya. Dengan kata lain qada dan qadarlah yang menjadi sebab kejadiannya.
Kejadian
kencing manis adalah kesan daripada kandungan gula dalam darah. Seseorang yang
normal mempunyai kandungan gula sekitar 6 mengikut indeksnya. Jika lebih tinggi
dari kadar ini orang berkenaan dikatakan
mengidap sakit kencing manis, sebaliknya jika di bawah paras ini
dikatakan hypo atau kekurangan gula. Mengapa
boleh terjadi lebihan atau kekurangan? Ini berkait dengan qada’ dan
qadar Allah.
Paras gula
dalam badan adalah dikawal oleh hormon insulin, iaitu sejenis hormon yang dikeluarkan oleh kilangnya. Dengan qada’ dan
qadar-Nya, Allah menetapkan setiap orang mempunyai kilang hormon yang
berbeza-beza kecekapan-nya. Yang normal akan mengeluarkan hormon insulin
secukupnya (optimum), dan kandungan gula terkawal dengan baik, yang tidak
normal mengeluarkan insulin sama ada berlebihan atau kekurangan pula, jadi
kawalan gula tidak normal. Insulin yang berlebihan akan menyebabkan hypo, yang berkurangan akan menyebabkan gula berlebihan dalam
badan dan terjadi kencing manis.
Qadanya ialah pemberian kilang hormon itu, qadarnya ialah sama ada menerima yang
normal atau tidak normal. Hypo atau kencing manis itu adalah kesan dan
akibatnya yang kita panggil takdir
itu.
Qada’
dan qadar adalah satu peraturan
Ketetapan (qada dan
qadar) Allah adalah merupakan satu peraturan. Muka bumi ini akan terus berada
seperti adanya (stabil), kerana setiap ciptaan berjalan tunduk patuh mengikut
ketetapan Allah. Sebarang perubahan yang terjadi akan membawa keburukan atau
bencana. Dalam kejadian tanah runtuh itu tadi berlakunya adalah kerana terjadi perubahan yang memberi kesan kepada
kestabilan di tempat berkenaan.
Hidayah atau petunjuk
adalah qada’ dan qadar Allah juga. Allah swt berkuasa memberi
petunjuk kepada manusia dan masyarakatnya
melalui wahyu. Namun tidak semua manusia mampu memahaminya, justeru
Allah swt melantik manusia-manusia tertentu dari kelompoknya sebagai rasul-Nya.
Tujuannya ialah bagi menjelaskan wahyu. Rasul-rasul dilantik adalah dari
kalangan kaum dan bangsa itu sendiri.
Misalnya
bagi kaum yang berbahasa Arab Rasulnya dilantik dari kalangan mereka agar tidak
menimbulkan masalah bahasa komunikasi. Ini disebut oleh ayat Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul
melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah)
kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Ibrahim, 14: 4).
Frasa
kata Allah menyesatkan sesiapa yang
dikehendaki-Nya itu bermaksud itu adalah peraturan Allah swt. Jadi, misalnya sesiapa yang tidak mengikut
peraturan dan peringatan-Nya mereka akan sesat.
Sesat bererti mereka hilang pedoman dalam menjalani kehidupan, dan tentunya ada
kesan dan akibatnya, dan ini adalah akibat dari pilihannya sendiri tidak
mengikut peringatan Allah, (Azab seksa)
yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan (ingatlah), sesungguhnya
Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambanya (ali-Imran,
3: 182).
Dalam menentukan ketetapan
nasib hamba-hamba-Nya itu, Allah meletakkan tanggungjawab kepada manusia kerana
Allah telah memberinya akal dan kemampuan untuk menjalankan ikhtiar dan usaha kepada setiap insan. Allah swt mewajibkan
manusia berusaha ke arah kebaikan mereka sendiri. Jika baik yang
diusahakan baiklah akhirnya, dan sebaliknya. Sesungguhnya Allah tidak mengubah
apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada
pada diri mereka sendiri (al-Rad, 13: 11). Inilah peraturan Allah swt
kepada manusia.
Misalnya,
seperti yang akan disebutkan di bawah ini tentang bangsa Amerika yang mereka-reka dan mencipta sendiri jalan hidupnya
menyebabkan mereka sekarang menghadapi masalah sosial. Inilah kesan dan
akibatnya yang disebut oleh Allah dalam ayat 182 surah ali-Imran di atas tadi.
Jadi, percaya kepada qada’ dan qadar bermakna percaya
bahawa
ketentuan Allah itu benar, adil, dan bersesuaian dengan kehendak-Nya.
Bagaimanapun memberikan kepada manusia kuasa untuk melakukan usaha dan ikhtiar.
Dengan kata lain Allah menentukan segala-galanya sebagai peraturan yang ditetapkan-Nya. Manusia yang tunduk patuh kepada peraturan
yang bersesuaian dengan kehendak-Nya akan sejahtera. Jadi manusia bertanggungjawab
kepada kesan dan akibat dari qada’ dan kadarnya. Jika tidak akan dipersoal di
akhirat kelak.
Bencana kejadian tanah runtuh boleh dielakkan jika manusia tidak melanggar ayat Allah yang menyatakan
bahawa bukit dan gunung adalah pasak bumi, Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya (an-Naba, 78: 7). Pasak
bumi bermaksud ianya adalah untuk kesetabilan tanah, Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang
pasak yang menetapnya) (an-Naziat, 79: 32).
Orang yang berilmu dapat memahami maksud ayat-ayat ini,
lalu tidak berani untuk merosakkannya. Malangnya ada
yang berilmu tetapi kurang yakin dengan janji (peraturan) Allah.
Cara
hidup manusia yang betul dan benar adalah dengan mengikut peraturan-peraturan yang terkandung dalam agama Allah swt,
dan berpandukan amalan-amalan yang dilakukan oleh para rasul-Nya. Sebagai umat Nabi saw amalan-amalan
baginda itu harus diikuti. Jangan mengikut jalan yang lain walaupun
ianya disebut sebagai disiplin, peraturan dan sebagainya.
Selain
dari ayat-ayat al-Quran kita gunakan hadis Nabi
saw kerana jelas memang ada ayat yang menyeru berbuat demikian. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh
Rasulullah saw kepada kamu maka terimalah
serta amalkan, dan apa jua yang dilarangan kamu melaku-kannya maka
berhentilah melakukannya (al-Hasyr, 59: 7). Dan lagi, Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu
pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik (al-Ahzab, 33: 21)
Dengan
menjalani hidup berdasarkan hukum-hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah manusia akan merasai nikmatnya, tidak mengalami
bencana alam dan sebagainya, kerana peraturan dan undang-undang itu memang serasi dengan tabiat
semulajadi dirinya, serasi juga dengan alam tempat kita tinggal. Misalnya, secara semulajadi manusia memerlukan
persekitaran yang bersih, iklim hidup yang aman tenteram, kerana inilah
Allah menurunkan ayatnya, Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai
Muhammad), melain-kan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam’ (al-Anbiya,
21: 107).
Apakah
ada manusia yang suka tinggal di tempat kotor, kacau bilau dan terdedah kepada
kejahatan. Jadi manusia yang menuruti tuntutan ayat ini pastinya akan bahagia
dan aman.
Ayat-ayat Allah yang dalam bentuk ketetapan (qada’ dan qadar) telah diwahyukan sebelum
berlakunya sesuatu peristiwa. Ianya sebagai
peringatan kepada manusia. Dengan kata lain bukanlah setelah terjadinya
sesuatu peristiwa barulah Allah berfirman. Ianya bertujuan supaya menjadi peraturan dan undang-undang alam. Inilah dia
yang dimaksudkan qada’ dan qadar. Jika kita kata itulah tali Allah maka sesiapa yang mengikutinya akan selamat, dan sesiapa
yang mengabaikannya akan mendapat bencana.
Dan,
peristiwa yang terjadi yang berkait dengan satu-satu peringatan itulah yang
kita biasa sebut sebagai takdir. Jadi
apabila Allah menyeru agar kita redha dengan qada’ dan qadar-Nya, bermaksud
yang harus diredhai ialah pemberian-pemberian-Nya dengan segala sifatnya itu (qada’ dan qadar), bukan meredhai
kesan dan akibatnya. Bagi kencing manis, pemberian kilang hormone itu harus
diredhai, bukan meredhai kencing manis atau hypo yang dialaminya.
Adilkah Allah memberikan sesetengah orang dengan yang
baik-baik
sedangkan yang lain dianugerahi dengan yang kurang baik.
Mengikut
pertimbangan akal manusia memang kelihatannya tidak adil. Tetapi Allah swt Maha
Sempurna perencanaan-Nya, Dia meletakkan keadilan-Nya dalam bentuk janji-Nya
yang lain, seperti yang disebut oleh hadis
dari Abu Hurairah ra yang menyebut, Para syuhada
(orang yang mati syahid) lima macam. (1) al-Math’un, orang yang tewas kerana
penyakit kolera (penyakit menular atau wabak), (2) al-Mabthun, orang-orang yang
tewas kerana sakit perut atau melahirkan anak, (3) orang yang tewas kerana
tenggelam, (4) orang-orang yang tewas kerana ditimpa tanah longsor atau pohon
tumbang dan sebagainya, (5) orang yang tewas dalam perang fi-sabilillah (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 1868). Yang
bermaksud bahawa sesiapa yang redha dengan salah satu daripada lima anugerah akan digantikan dengan balasan
syurga. Di sinilah keadiilan-Nya, Bukan mudah untuk mendapat syurga. Jadi
bertuahlah mereka yang mati dalam keadaan seperti yang tersebut di atas ini. Justeru orang-orang yang benar-benar beriman tidak
harus mempersoalkan keadilan Allah swt mengikut pertimbangan akal
sendiri.
No comments:
Post a Comment