07 September 2019

Hakikat ibadah haji


Adakah haji yang sah menjamin kemabrurannya. Katakanlah tidak kerana terlalu banyak membayar dam, tandanya banyak melakukan perkara-perkara yang dilarang; melanggar larangan bererti sikap dan hatinya masih kotor, tidak bersih. Baiklah, katakanlah seseorang itu mengerjakan ibadah haji dengan penuh sempurna rukun-rukunnya, dan wajib hajinya, bolehkah dikatakan akan menjamin hajinya mabrur?
Haji adalah ibadah dalam Rukun Islam. Apakah ertinya Rukun dan apakah ertinya Islam! Rukun bererti asas dan tonggak, manakala Islam adalah cara hidup. Justeru ibadah haji haruslah yang merealisasikan konsep ini: ibadah haji menjadi asas dan tonggak cara hidup Islam.
Misalnya, adakah ibadah haji kita sudah mendidik kita menjadi orang yang cara hidupnya menyayangi alam sekitar, orang yang tidak lagi kasar dan jelek percakapannya, orang yang tidak lagi bersikap ujub dan besar diri, orang yang memandang semua umat sama darjat, dan sebagai-nya. Ini adalah antara nilai-nilai keperibadian yang harus tertanam dalam diri seorang yang sudah mengerjakan ibadah haji. Namun bukan sekadar itu sahaja, tetapi itu tadi adalah antaranya.
Jika ya, bererti orang ini tadi adalah antaranya yang sudah melunas-kan tuntutan ibadah haji sebagai Rukun Islam. Nilai-nilai kerohanian yang tersebut itu menjadi jatidirinya seperti yang dikehendaki oleh Islam, orang yang menyempurnakan tuntutan cita-cita Islam sebagai cara hidup. Nilai-nilai kerohanian ibadah hajinya menjadi prinsip-prinsip hidupnya. Itulah cara hidupnya sebagai seorang haji atau hajah.
Ibadah haji biasa disebut-sebut sebagai ibadah puncak. Selepas ini tiada lagi ibadah yang dapat mendidik seseorang dengan nilai akhlak dan keperibadian yang lebih tinggi lagi. Ibadah haji adalah kesudahannya, sudah memenuhi setiap tuntutan Rukun Islam yang lima itu. Ibadah hajinya sudah berjaya membuang akhlak dan kehidupannya dari kekotora sifat keji dan maksiat.
Sebagai ibadah puncak pula, nilai-nilai akhlaknya haruslah yang tertinggi darjatnya berbanding yang dilahirkan oleh ibadah sembah-yang, zakat dan puasa. Jadi, setelah kita terdidik dengan ibadah sembahyang, zakat dan puasa, dan menjalani kehidupan dengan cara yang sejajar dengan nilai-nilai akhlaknya itu, cara hidup kita harus berada pada tahap yang tertinggi.
 Hakikatnya haji adalah ibadah yang mentransformasi seseorang hamba kepada kualiti diri seorang Muslim yang terbaik. Selepas ini tiada lagi ibadah yang disediakan bagi mempertingkatkan kualitinya. Inilah kualiti yang memungkinkan seseorang mendapat haji yang mabrur. Imam Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim menyebut, Antara tanda haji yang mabrur ialah seseorang yang pulang dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya serta tidak mengulangi perbuatan maksiat. Fahamlah kita bahawa haji yang mabrur itu adalah haji yang memberi kesan kepada pelakunya.
Justeru, para jemaah haji seharusnya tidak hanya memikirkan kesahan hajinya, sebaliknya sedaya upaya bertekad menjernihkan hati dan akhlaknya.
Merujuk kepada ayat 197 al-Baqarah pula akan kita fahami bahawa ibadah haji merupakan proses memantapkan ketakwaan seseorang hamba. Untuk mencapai ketakwaan tidak semudah yang difikirkan. Hanya orang-orang yang menjalani kehidupannya yang diatur oleh lima kriteria yang telah dibentangkan sebelum ini sahaja adalah orang yang bertakwa. Antara yang lima itu yang paling sukar untuk dipenuhi ialah kriteria yang ketiga itu iaitu manhajnya atau kaedah, dan yang keempat iaitu mengawasi natijah cara hidupnya. Cabarannya sangat tinggi kerana melibatkan jihad melawan nafsu dan keegoan diri.
Belum selesai dengan persoalan di atas ini banyak lagi perkara yang harus dilihat, sama ada dalam bentuk ayat al-Quran mahupun Hadis. Yang berikut ini adalah antara perkara-perkara yang harus diterjemah menjadi cara hidup.
ü  Sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadah haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerja-kan ibadat haji (al-Baqarah, 197).
ü  dan jangan (pula mengganggu) orang-orang yang mengunjungi Baitul-haram yang bertujuan mencari kelebihan dan keredaan daripada Tuhan mereka (Maidah, 2).
ü  dan jauhilah perkataan yang tidak elok (al-Hajj, 30).
ü  Wahai orang-orang beriman! Allah pasti akan menguji kamu dengan haiwan buruan yang dengan mudah kamu peroleh dengan tangan dan tombakmu agar Allah mengetahui siapa yang takut kepada-Nya dalam keadaan ghaib (bersendirian) (Maidah, 94).
ü  Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu membunuh haiwan buruan dalam keadaan kamu sedang ikhram (haji dan umrah) (Maidah, 95)

Untuk menjadikan ibadah haji sebagai cara hidup, semua aspek yang menjadi rukun haji dan wajib haji itu harus diterjemah menjadi akhlak iaitu peraturan dan etika hidup. Bagi mengharap haji yang mabrur pula nilai-nilai akhlak ini harus dihidupkan dalam bentuk syariat

Untuk mengharap haji yang mabrur, harus mengetahui bahawa kemabruran ibadah haji adalah dilihat dari aspek syariat atau cara hidup pengamalnya seusai mengerjakan haji.
Ayat-ayat yang saya turunkan di atas tadi adalah antara nilai-nilai akhlak. Ayat 197 al-Baqarah mengajar kita erti tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam menjalani kehidupan seharian, ayat 2 Maidah mengajar erti jangan menghalangi orang-orang yang hendak mencari kelebihan dan keredaan daripada Tuhan mereka, ayat 30 al-Hajj mengajak kita menjauhi perkataan yang tidak elok, ayat 94 dan 95 Maidah pula mengajar kita erti menjaga dan menyayangi alam sekitar. Inilah antara akhlak dan cara hidup seseorang yang bergelar haji.

Dengan demikian, agak jelas dinyatakan bahawa ibadah haji mestilah yang dapat mendidik kita menjadi orang yang bersifat baik percakapannya, tidak suka bertengkar, memelihara maruah diri dan agamanya (Islam), dan sebagainya.
Apabila ianya seruan Allah swt bererti itu adalah indeks kualiti ibadah haji yang mesti dicapai, tidak boleh ditinggalkan, atau dengan kata lain kesemuanya itu harus dijadikan kenyataan, dan dijadikan sebagai matlamat ibadah ini. Untuk apakah Allah swt menurunkan ayat-ayat tersebut jika tidak direalisasikan. Ini juga menunjukkan bahawa sesuatu ibadah itu haruslah yang melahirkan akhlak, dan nilai-nilai akhlaknya harus dijadikan syariat atau jalan hidup. Mengikut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Allah tidak menciptakan sesuatu ibadah tanpa tujuan.
Jadi sekali lagi hendak disebutkan bahawa hakikatnya ibadah haji yang diterima adalah yang sah dan dapat merealisasikan tujuan atau pengajaran ayat-ayat dan hadis tersebut tadi, jika tidak akan terjadilah seperti yang disebut dalam hadis yang lalu, di mana di akhirat kelak Allah swt akan menyatakan bahawa tujuan kamu baik tetapi haji sahaja belum cukup. Mengapa tidak cukup? Menunaikan ibadah haji yang sekadar menunaikan segala rukun-rukunnya itu bagi menjadikan hajinya sah sahaja tidak dilanjutkan ke arah matlamatnya (maqasid). Bagi mencukup-kannya ibadah haji itu haruslah yang melahirkan akhlak dan akhlak itu dijadikan cara hidup.
Sebagai tonggak Islam, unsur-unsur di sebalik perkara-perkara rukun dan wajib haji itu yang menyumbang kepada tertegaknya Islam (sebagai way of life). Kerana itu seseorang yang mengerjakan haji sewajarnya merenung sejenak tujuan-tujuan di sebalik perintah dan larangan dalam upacara-upacara ibadah haji: mengapa diwajibkan berihram di Miqat, berada di Muzdalifah disertakan pula syaratnya ialah sesudah tengah malam iaitu selepas berada di padang Arafah, melontar Jumrah, bermalam di Mina, tawaf wida’ iaitu tawaf pada saat-saat hendak meninggalkan Mekah, dan menjauhkan diri dari segala larangan atau perkara yang diharamkan semasa berihram. Kesemua perkara ini memerlukan penghayatan yang jitu, untuk ditanamkan ke dalam diri orang-orang yang bergelar haji dan hajah

Butiran lanjut terdapat dalam buku 4 Tonggak Way of Life Islam, terbitan Karisma Publishing.

 

No comments: