14 November 2019

JANGAN KELIRU

Pengamatan saya menunjukkan ceramah-ceramah di surau-surau atau masjid, maupun di media massa, kontennya berkaitan dengan dosa-pahala, syurga-neraka. AMAT JARANG sekali yang berkaitan dengan kemajuan umat di dunia. Inilah yang membawa kepada kemunduran dan kerosakan akhlak generasi Islam.
Walhal jelas, antara ciri utama Islam adalah bahawa Islam tidak memisahkan antara kehidupan kerohanian dengan kehidupan keduniaan, yang bererti antara kedua-duanya ini saling berkait satu sama lain. Inilah caranya untuk mendapat rahmat Allah.
Kehidupan yang diatur berdasarkan kepada ciri ini adalah yang membawa kepada rahmatan-lil-alamiin. Jika kehidupan hanya dititikberatkan dengan soal dosa-pahala, syurga-neraka menyebabkan umat Islam lupa jalan hidupnya di dunia.
Dalam sembahyang misalnya tersebut lafaz Allahu akbar. Bagi seseorang yang hanya memikirkan soal dosa-pahala, syurga-neraka, akan gagal mengatur jalan hidupnya di dunia. Bagaimanakah kaitannya? Perhatikan.
Dengan lafas Allahu akbar, bererti seseorang itu hendak mendirikan sembahyang. Apakah yang harus dipatuhi selepas melafazkannya? Jawabnya, dia tidak boleh bercakap, tidak boleh makan, tidak boleh membiarkan otaknya menerawang ke dunia lain, dan lain-lain, yang bermaksud jangan melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang. Lafaz Allahu akbar ini adalah merupakan satu ikatan kontrak antara dirinya dengan Allah dan Rasul-Nya. Antara isi kontrak berkenaan ialah bahawa kita tidak boleh melakukan perkara-perkara yang membatalkan, dan sebagai tambahan hendaklah memgikut prosedur-prosedur melakukan perkara-perkara RUKUN dan lain-lain.
Dalam kehidupan dunia, inilah yang harus diperhatikan. Sebagai contoh, jika anda dengan rela hati memohon untuk jawatan polis, bererti anda harus bersedia mematuhi peraturan dan prosedurnya. Jika anda dengan rela hati mencebur diri dalam dunia perniagaan, harus berpegang teguh kepada peraturan dan prosedur perniagaan. Dengan kata lain anda harus berdisiplin dengan jawatan polis dan peniaga.
Inilah jalan hidup keduniaan yang dituntut oleh Allah dan Rasul-Nya. Jelas aspek-aspek seperti ini SANGAT JARANG disebut dalam ceramah-ceramah dan sebagainya. Akibatnya, lihatlah sahaja sikap umat Islam terhadap bidang pekerjaan.
Seseorang yang mengambil berat konsep ini adalah mereka yang akan berjaya dalam segala lapang kehidupan, sama ada bidang kemasyarakatan, politik, sukan, budaya dan sebagainya. Sebab? Mereka berprinsip bahawa ISALAM TIADK MEMISAHKAN ANTARA KEHIDUPAN KEROHANIAN DENGAN KEHIDUPAN KEDUNIAAN, malah mengaitkannya antara kedua-duanya. Allahu-aalam.

Buku ini ada penjelasannya:
http://karismaedar.blogspot.com

No comments: