Tujuan Allah menjadikan manusia disebut dengan jelas
dengan ayat 56 surah az-Zariyat, yang maksudnya Tidak Ku jadikan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku. Beribadah
tidak bermaksud menunaikan sembahyang, zakat, puasa dan haji serta dengan
rangkaian-rangkaiannya sahaja tetapi ibadah dalam ertikata tunduk patuh.
Wallahu aa'lam.
Tunduk patuh bererti akur dan patuh dengan semua
perintah dan larangan-Nya. Jadi manusia harus melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangannya. Perintah dan larangan-Nya disebut
dalam al-Quran, namun dalam keadaan tertentu harus merujuk kepada Hadis
Rasulullah saw.
Rasanya ada baiknya diberikan contoh supaya jelas.
Misalnya, ayat 56 itu tadi: maksudnya jelas iaitu tunduk patuh, yang menjadi persoalan ialah caranya, iaitu bagaimanakah cara tunduk patuh itu. Persoalan ini
dijawab oleh Hadis, iaitu seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw.
Satu contoh lain ialah dalam al-Quran ada perintah supaya
manusia mendirikan sembahyang., tetapi tidak pula dihuraikan caranya. Justeru caranya ialah seperti
yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw.
Namun dalam al-Quran ada tanda-tanda yang menunjukkan
Allah seperti sengaja meninggalkan persoalan-persoalan yang tidak ada hukumnya
sama ada diperintah atau dilarang. Justeru para ulama meletakkannya di bawah
perkara-perkara yang hukumnya harus. Hukum harus bererti manusia dibenarkan
melakukannya. Namun ada syarat-syarat tertentu agar tidak berubah menjadi
perkara yang dilarang. Ada kriteria-kriterianya yang tertentu.
Mengapa harus tunduk patuh?
Jawabnya, Allah hendak menjadi bumi ini tempat tinggal
manusia yang aman sejahtera – sejahtera buat individu dan kelompoknya,
seterusnya masyarakat seluruhnya. Tentu anda setuju jika dikatakan bahawa
berbohong itu boleh mendatangkan suasana tidak tenteram, huru hara. Jadi Allah
melarang kita berbohong. Justeru kita harus mematuhi larangan-Nya.
Jika ada antara manusia yang bersikap jahat, tidak peduli
soal kesejahteraan orang lain, siapakah yang dapat melarangnya? Mungkin orang
mengatakan bahawa kita ada undang-undang – undang-undang negara! Baik, jika
orang berkenaan tidak mempedulikannya? Inilah sebabnya kita wajib percaya
kepada Allah swt. Percaya kepada Allah bererti percaya juga dengan segala
perkara yang terkandung dalam Rukun Islam dan Rukun Iman. Jika Allah menyatakan
Dia menyediakan Neraka untuk tempat memberi balasan kepada orang jahat maka
kita wajib percaya, percaya bererti kita harus meninggalkan kejahatan.
Untuk mewujudkan iklim aman sejahtera Allah menghendaki kita
percaya benar-benar dengan Rukun Iman. Bagi membuktikan keimanan kita maka
harus tunduk patuh menunaikan lima perkara dalam Rukun Islam. Jadi, Rukun Islam
itu adalah ramuan asasnya. Apabila Allah menghendaki mendirikan sembahyang,
maka sembahyang itu adalah asas untuk membina iklim aman sejahtera. Dengan kata
lain bahawa segala isi yang terkandung dalam ibadah sembahyang itu adalah
ramuannya. Isi kandungan sembahyang dikelompokkan kepada tiga iaitu Rukun Qalbi, Rukun Qauli, dan Rukun Feeli.
Kita ambil satu contoh, jika anda selepas berwuduk,
berdiri mengadap qiblat, mengangkat tangan sambil melafazkan Allahu akbar, maknanya anda hendak
mendirikan sembahyang. Apakah yang dimaksudkan dengan lafaz itu tadi?
Selepas lafaz Allahu
akbar bererti anda dilarang bercakap, dilarang melakukan
perbuatan-perbuatan yang tidak berkaitan dengan sembahyang, dilarang juga mengingati
perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan makna bacaan-bacaan dalam
sembahyang. Pendek kata kita wajib menjaga perkara-perkara yang boleh
membatalkan sembahyang. Baik, untuk apakah semua ini. Ini mengajar kita erti
mematuhi hukum-hakam dalam sembahyang.
Inilah antara isi kandungan dalam sembahyang
yang harus dijadikan cara hidup. Jadi mengikut hukum itu tadi, Allah
menghendaki kita menjadi seorang manusia yang berpegang kepada hukum dan
peraturan: yang dilarang harus ditinggalkan, kerana ada keburukannya, boleh
menggagalkan cita-cita Allah untuk menjadikan bumi ini sebagai tempat tinggal
yang aman sejahtera. Inilah antara kefahaman yang berkaitan dengan ayat 56 itu
tadi.Wallahu aa'lam.
No comments:
Post a Comment