07 November 2020

Misi dan Visi Islam 2

Tajuk pagi ini hendak memberikan satu contoh tentang saling hubungan yang disebut dalam posting yang lalu. Untuk tujuan ini ada baiknya diturunkan sekali lagi idea misi dan visi Islam.

Misi dan visi Islam mahu membentuk kehidupan individu dan kelompoknya dalam susunan sosialnya yang aman, sejahtera dan penuh kepuasan.

Sasarannya pula bukan sahaja manusia tetapi mencakupi persekitaran kehidupan manusia itu sendiri. Alasannya ialah bahawa kesejahteraan manusia bergantung kepada persekitarannya. Justeru, Allah swt mengatur kehidupan di dunia ini berasaskan saling bergantung antara satu sama lain, manusia adalah sebahagian daripadanya.

Kebergantungan manusia bukan kepada manusia sahaja tetapi kepada makhluk-makhluk lain dan sekitarannya juga. Dengan demikian iklim keamaman, kesejahteraan, dan kepuasan itu tadi dapat dibina untuk kedua-duanya.

ü Setiap ciptaan ada sukatannya yang tertentu. Misalnya matahari memancarkan cahayanya (memancarkan haba, cahaya lampau ungu), habanya untuk memanaskan bumi.

ü Tumbuhan, Allah jadikan dalam keadaan pucuknya cenderung kepada sumber cahaya matahari, sains menyebutnya sebagai fototropism, akarnya mencari bumi, disebut geotropism, tumbuhan membesar, menghasilkan bunga dan buah untuk dimakan oleh manusia dan haiwan. Tumbuhan membesar dan menghasilkan buah dengan menjalankan proses fotosintisis, antara hasilnya yang lain ialah oksigen, iaitu gas yang diperlukan oleh semua hidupan termasuk manusia.

ü Haiwan ada yang Allah swt jadikan sebagai herbivor (makan daun), dan ada pula yang karnivor (makan haiwan) malah ada pula yang makan kedua-duanya misalnya manusia. Jadi, manusia dipanggil makhluk omnivor.

ü Tanah adalah makhluk yang tidak hidup, sifatnya boleh diresapi air, mengandungi galian-galian, yang disediakan untuk tumbuhan.

Kesemua aktiviti ciptaan ini membentuk satu sistem saling hubungan antara satu sama lain, termasuk manusia. Rangkaian hubungan antara makhluk-makhluk ini disebut oleh ilmu sains sebagai rantaian makanan dan siratan makanan. Inilah antara fenomena yang membentuk alam ini yang ramai menyebutnya sebagai nature. Contoh ini sekadar satu jalur pola kehidupan yang kecil sahaja. Inilah caranya Allah mentadbir alam ini. Justeru logiklah untuk menerima idea bahawa antara guru kita ialah buku sains dan guru sains.

Dalam rantaian makanan di sini menunjukkan tumbuhan dimakan oleh belalang, belalang dimakan oleh burung, burung dimakan oleh ular, manakala ular pula dimakan oleh burung helang. Inilah hubungan yang Allah aturkan.

Sistem rantaian ini tidak semestinya sehala yang disebut rantaian itu. Saling hubungan menjadi lebih kompleks seperti yang ditunjukkan oleh siratan makanan.

Sedar atau tidak, inilah antara bentuk yang terdapat dalam pentadbiran Allah swt, yang disebut oleh ayat 2 surah al-Fatihah yang menyebut rabbil-‘aalamiin itu.

Cuba bayangkan, apakah akan terjadi sekiranya ada faktor yang memutuskan rantaian makanan. Misalnya, tumbuhan protes, tidak mahu lagi menjalankan fotosintisis? Atau manusia melakukan penebangan hutan secara yang tidak terkawal. Waima buat diri sendiri pun bayangkan apa akan terjadi sekiranya kita bersikap tidak mahu menjadi makhluk omnivor, tidak makan sayur atau produk suplimen penggantinya.

Fakta-fakta fenomena seperti inilah antaranya yang menjadi asas pembinaan syariat. Justeru mengikut hukum akal sekalipun logiklah Allah menyediakan hari Akhirat, seperti yang disebut oleh ayat 4 al-Fatihah yang menyebut maaliki yaumiddin itu, supaya manusia tidak bertindak melakukan apa sahaja yang dia mahu, di mana yang dia mahu dan bagaimana yang dia mahu, sehingga menidakkan hak orang lain.

Justeru, kita harus mempunyai ilmu teknologi untuk menyelami maksud-maksud yang terselindung di sebalik ayat-ayat yang kit abaca dalam sembahyang. Orang yang dapat melakukannya dikatakan dia berjaya mendirikan sembahyang yang batin, dia adalah orang yang mempunyai ilmu berkenaan. Tidak ramai yang mempunyai ilmu ini.

Sementelah Allah swt mengatur dan mentadbir alam ini sedemikian rupa, apakah hukumnya jika kita merosakkan alam sekitar? Awas hukumnya haram bukan makruh sahaja kerana amat jelas kita seperti tidak menghormati Allah swt, tidak menghargai citptaan-ciptaanya yang jelas untuk kepentingan kita sendiri.

Maka harus difahami bahawa inilah antara sikap seorang Islam yang terpuji. Akur dengan ayat 2 surah al-Fatihah itu tadi bererti kita mengekalkan bentuk saling hubungan kita dengan orang lain dan makhluk keseluruhannya.

Justeru inilah juga jalan hidup yang harus kita ikuti; bukan jalan mereka yang dimurkai, atau yang sesat yang disebut oleh ayat 7 itu. Mereka yang dimurkai ialah orang-orang yang mengaku dirinya Islam tetapi jalan hidupnya tidak sejajar dengan ayat-ayat al-Quran, tidak mengambil jalan hidup Nabi saw, atau yang bercampur-baur dengan jalan hidup bikinan akal manusia seperti falsafah, ilmu Sains yang terpisah dari sumber Islam, manakala yang sesat itu ialah mereka yang bukan Islam dan puak Atheis.

No comments: