31 December 2020

Tujuan hidup

 Tujuan hidup yang sejati adalah yang dapat menjawab persoalan siapakah aku, dari manakah aku datang, apa yang aku lakukan di sini, dan ke manakah aku akan pergi dari sini.

Satu lagi iaitu seseorang yang mempunyai tujuan hidup akan sentiasa sedar siapakah dirinya, apakah yang sedang dilakukan, adakah yang sedang anda lakukan itu serasi dengan tujuan hidupnya. Tanpa tujuan hidup, tindak tanduknya akan terjadi spontan tanpa sebarang perencanaan?

Pendek kata tujuan hidup akan memandu idea bagaimana caranya hendak menjalani kehidupan di dunia ini. Adakah ianya serasi dengan semangat agama, tidak kiralah sama agama Islam, Kristian, Budha, Hindu, dan sebagainya. Jadi, apa yang hendak dilakukan itu adalah sebahagian daripada rancangan-rancangan yang diatur bagi menjayakan cita-cita mencapai tujuan hidup, bukan yang menggagalkannya.

Pendek kata tujuan hidup itulah fahaman yang kita jadikan prinsip hidup, yang mengatur dan menentukan apa yang boleh dan tidak boleh, yang cantik dan buruk, yang baik dan yang terbaik.

Jika anda seorang Islam, tentu sekali anda sudah mula bertanggapan bahawa tujuan hidup yang digambarkan di atas adalah yang diajarkan oleh agama (Islam), lantaran konsep hari akhirat itu memang sinonim dengan ajaran Islam.

Kelihatannya impak dari tujuan hidup adalah peraturan dan undang-undang, yang mencakupi persoalan yang tiga itu tadi, iaitu dari mana aku datang, apakah yang aku lakukan di dunia ini dan ke manakah aku akan pergi dari sini.

Peraturan dan undang-undang Islam berfungsi sebagai akta yang mengatur corak pergerakan mencapai tujuan hidupnya. Bolehlah dikodkan sebagai akta yang mengawal manusia agar sentiasa berada dalam norma-norma kemanusiaan.

Islam adalah berasal dari perkataan salam yang ertinya sejahtera. Jadi, misi dan visi Islam adalah kesejahteraan. Kerana inilah apabila Allah swt menurunkan ayat-ayat-Nya yang berkait dengan konsep kekhalifahan antara ayatnya ialah yang menyebut tugas seseorang khalifah, iaitu untuk menjaga kesejahteraan alam ini, termasuklah manusia di dalamnya.

 Justeru, setiap orang harus menyimpan kesedaran tentang tujuan hidup masing-masing. Tujuan hidup kita bukanlah cita-cita untuk kejayaan hidup di dunia ini sahaja tetapi meliputi garismasa yang bermula dari dari manakah aku datang, apa yang aku lakukan di sini, dan berakhir dengan ke manakah aku akan pergi dari sini. Jadi Tiga aspek ini adalah asas bagi membina tujuan hidup.

Pentingkah kita berfikir tentang tujuan hidup?

Memang penting dan sangat penting. Tujuan hidup akan menentukan jalannya yang harus diikuti, dan strateginya. Jika dianalogi bagaimanakah caranya untuk berjalan dalam gelap. Kita tidak akan mengenali di manakah destinasi kita dan jalan mana yang harus kita laluinya.

Tentu sekali anda masih ingat zaman kehidupan ketika kanak-kanak: takut dengan kegelapan, setelah mencapai usia dewasa sekalipun kegelapan membuat kita takut, was-was, dan cemas penuh kekuatiran. Pendek kata siapa pun tidak mau berada dalam kegelapan. Demikianlah kehidupan kita.

Hidup tanpa tujuan membuatkan kita menjalani kehidupan tanpa perancangan, jika ingat kematian sekalipun tidak membuat persiapan untuk menghadapinya. Kadangkala natijahnya sehingga bersikap membujur lalu melintang patah. Menjalani kehidupan mengikut nalurinya, nafsunya. Seperti mana haiwan, hidup untuk makan, bersukaria. Jika teringat untuk kahwin dia akan mencari pasangan mengikut situasi kehidupan semasa.

Tiada tujuan hidup membuat kehidupan yang tanpa cita-cita, tidak tau sejauh mana akan pergi, dimanakah destinasinya, jika ada orang menyebut tentang kematian sekalipun didengarnya seperti tidak berkaitan dengan dirinya.

Hidup tanpa tujuan akan sering berhadapan dengan situasi tidak kena, menimbulkan dilemma, banyak masalah. Tidak dinafikan bagi sestengah orang situasi ini diterimanya sebagai perkara biasa dalam kehidupan.

Kehidupan yang tidak diasaskan kepada tujuan hidup sering menjadi punca kepada banyak masalah dalam komuniti. Orang-orang yang sebegini tidak mempunyai worldview yang diterima ramai, yang neutral, sebaliknya berpegang kepada worldviewnya sendiri. Sikapnya mementingkan diri, aktiviti kehidupan seharian tidak serasi dengan agama atau fahaman yang dianutinya. Inilah antara kesan dan akibatnya.

Jadi tujuan hidup adalah satu daripada asas-asas kefahaman tentang Islam. Tujuan hidup akan menentukan pegangan hidup.


Rukun Islam: Sembahyang

Ketiadaan kefahaman asas juga menyebabkan timbul salah tanggap terhadap Rukun Islam. Akibatnya tujuan melaksanakan perintah menunai-kan sembahyang, zakat, puasa dan haji itu kabur, tersasar, ditunaikan berdasarkan ketaksuban kepada takrifnya sahaja. Selalunya untuk tujuan pahala, untuk syurga. Ibadah korban dan umrah juga tidak terkecuali. Lebih parah lagi jika dilihat dari sudut pengurusan harta.

Pendek kata manusia hari ini sudah kehilangan kefahaman asas tentang (agama) Islam. Manusia sudah terlepas dari konsep ayat 85 ali-Imran yang menyebut bahawa Islam adalah cara hidup, dan cara hidup yang dikehendaki adalah yang menepati tuntutan ayat 56 az-Zariyat. Seseorang yang mengetahui ayat ini sudah memadai untuk membina tanggapan bahawa tujuan ibadah-ibadah dalam Rukun Islam itu adalah berkait dengan cara hidup. Jika ditelusuri ayat-ayat al-Quran sekalipun akan kita dapati keseluruhannya menunjukkan kedudukan ini. Inilah sebabnya kita sering mendengar kenyataan yang menyebut Akhlak Nabi saw adalah al-Quran, yang menunjukkan bahawa al-Quran itu adalah petunjuk jalan hidup seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Antara kefahaman asas yang wajib diketahui oleh setiap manusia ialah seperti yang digambarkan oleh hadis yang meriwayatkan tentang dialog antara Nabi Musa dengan Allah swt:

Nabi Musa:   Wahai Allah, aku telah melaksanakan ibadah, lalu manakah ibadahku yang membuatkan Engkau redha?

Allah swt:     Solat? Solat itu untuk dirimu sendiri kerana dengan mengerjakan solat engkau terpelihara daripada keji dan mungkar. Zikir? Zikirmu itu hanya untuk dirimu sendiri, membuatkan hatimu menjadi tenang. Puasa? Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri.

Nabi Musa:   Lalu ibadahku yang manakah yang membuatkan Engkau redha ya Allah?

Allah swt:     Sedekah, infaq, zakat dan perbuatan baikmu. Itulah yang membuatkan Aku redha kerana ketika engkau membahagiakan orang yang sedang susah Aku hadir di sampingnya.

Hadis ini menggambarkan bahawa antara kefahaman asas bagi seseorang Islam ialah sikap kepedulian buat orang lain dan alam sekitar. Malangnya kebanyakan orang sudah kehilangan kefahaman ini menyebab-kan tujuan sembahyangnya jelas untuk diri sendiri; demikian juga tujuan zikir dan puasanya. Mereka sudah tidak berpegang kepada kefahaman bahawa dirinya dicipta Allah untuk menjadi khalifah, yang tugasnya adalah untuk membina kesejahteraan alam ini. Apakah penting sikap kepedulian ini untuk manusia? Buku kecil ini akan menjelaskannya.

Pendek kata persoalan dari manakah aku datang, apa yang aku lakukan di sini, dan ke manakah aku akan pergi dari sini sangat relevan untuk difahami sedalam-dalamnya supaya jalan hidup kita jelas, tidak teraba-raba dan terkeliru lagi.

Jalan hidup Islam merangkumi aktiviti yang kerohanian dan keduniaan kerana antara keduanya adalah saling berkaitan, dalam bentuknya yang boleh dianalogikan bagai tiang dengan rumah, bagai aur dengan tebing. Justeru fahamilah benar-benar bagaimanakah perkaitannya. Inilah asas worldview hidup kita. Kerana itu adalah tidak betul sekiranya ada yang berpandangan bahawa ibadah adalah ibadah, tiada kaitannya dengan cara hidup di dunia.

Cara hidup di dunia berasaskan konsep kekhalifahan. Hal ini disebut oleh ayat 30 al-Baqarah. Tugas utamanya disebut oleh ayat 74 al-Araf, …janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi. Ayat ini berupa amaran yang maksudnya ialah menjaga kesejahteraan alam ini.

Bagi merealisasikannya maka Islam telah menggariskan kriteria-kriteria tertentu. Yang sangat penting ialah bahawa sesuatu ibadah itu tujuannya untuk membina sikap kepedulian, sejajar konsep kekhalifahan itu tadi.

Misalnya Islam menekankan bahawa cara hidup yang dikehendaki ialah yang membawa faedah buat orang lain, bukan cara hidup mementingkan diri sendiri. Kerana inilah Allah swt menekankan bahawa sesuatu ibadah yang tiada tujuan, atau yang tujuannya untuk kepentingan diri sendiri adalah tidak diredai. Buku kecil ini akan membentangkan fakta-faktanya.

No comments: