29 April 2021

Syarat mendapat pahala

 

Ayat 58 al-Baqarah menyebut dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik. Jadi pahala akan diberikan kepada amalan berbuat baik, bukan kepada ibadah-ibadah kita secara langsung.

Dari ibadah sembahyang kita, pahala akan diberi kepada amalan berbuat baik sempena sembahyang kita, dari ibadah puasa, pahala akan diberi kepada amalan berbuat baik sempena ibadah puasa kita, dari ibadah terawih kita, pahala akan diberi kepada amalan berbuat baik sempena ibadah terawih kita. Jika tidak ibadah kita akan tinggal ibadah adat yang tidak akan mendatangkan pahala.


 Amalan berbuat baik terjadi di pola ke-4 iaitu syariat. Ibadah sembahyang, puasa dan terawih itu berlaku di peringkat ibadah. Dengan kata lain berbuat baik tidak boleh dilakukan di peringkat ini. Secara umumnya berbuat baik menggambarkan amalan yang kita lakukan buat kebaikan orang lain, bagaimana hendak melakukannya sedangkan kita sedang mendirikan sembahyang.

Amalan berbuat baik adalah didorong oleh akhlak, iaitu nilai-nilai bina dalam yang dilahirkan oleh ibadah. Nilai-nilai yang dipanggil akhlak itu pula hanya dapat dilahirkan jika ada amal yang batin ketika beribadah. Ibadah yang didirikan sekadar mengikut takrif sahaja tidak akan menemui amal yang batin.

Amal yang batin diperolehi melalui kefahaman terhadap ayat-ayat yang dibaca ketika sembahyang dan terawih. Bagi puasa amal yang batin diperolehi melalui kefahaman tentang tujuan berpuasa. Secara tidak langsung ini menyatakan bahawa apalah ertinnya sembahyang, terawih dan puasa jika tidak mendapat akhlaknya. Pun begitu, akhlak ini harus dijadikan amalan cara hidup.

Ayat 58 itu tadi bukanlah satu-satunya ayat yang menyebut tentang syarat mendapat pahala. Dari pencarian saya, saya ketemukan 105 ayat yang senada dengan ayat 58 al-Baqarah. Sebahagiannya disebut amal soleh (al-Baqarah, 62), beriman dan bertakwa (al-Baqarah, 103), membelanjakan harta pada jalan Allah (al-Baqarah, 272).

Mungkin ada orang yang tidak nampak hubungan amal soleh dan bertakwa itu dengan berbuat baik. Saya dapat sebutkan di sini secara ringkas bahawa antara ciri-ciri untuk beramal soleh dan bertakwa itu ialah manhajnya: orang-orang ini sentiasa berhati-hati dalam setiap percakapan dan perlakuannya jangan sampai orang lain terasa, terancam, tidak sejahtera, tidak aman bila bersama. Pendek kata pergaulan dengan orang-orang bertakwa akan membuat kita rasa bahagia, aman dan sebagainya. Contohnya orang bertakwa tidak akan meletak kenderaan sesuka hati hingga menyusahkan orang lain.

No comments: