19 May 2021

Sejarah menunjukkan pada zaman kedatangan Islam, terdapat banyaknya kepercayaan, mitos, konsep, falsafah tahyul, tradisi dan adat, yang cirinya kepalsuan bercampur aduk dengan kebenaran, yang salah dengan yang benar, yang karut marut dengan agama, dan mitos dengan falsafah, yang menyebabkan hati nurani manusia bercelaru, berspekulasi, yang tidak ada tanda-tanda akan reda.

Hari ini kesan dan tempiasnya masih ketara. Lihat sahaja fenomena kehidupan manusia hari ini: kehidupan manusia dipenuhi kejelekan-kejelekan seperti terjadinya rasuah dan kelam-kabut, kezaliman dan penindasan, kesusahan dan kesengsaraan, dan mementingkan diri sendiri. Kehidupan yang boleh disebutkan sebagai yang bukan untuk manusia mahupun binatang.

Keadaan-keadaan inilah yang menyebabkan kehidupan manusia tidak mempunyai identiti yang jelas, kehidupannya tidak tentu hala kerana telah menyimpang dari jalan yang sepatutnya. Tidak terkecuali kesannya adalah terhadap ibadah-ibadahnya, sama ada ibadah yang khusus maupun ibadah yang umum.

Ibadah-ibadahnya simpang-siur, tiada tujuan, tidak dikaitkan dengan kehidupan, gagal mengaitkannya dengan cara hidupnya, jauh sekali untuk membina kesedaran hubungan manusia-Tuhan, misalnya manusia telah tidak dapat melihat apakah pentingnya mengenali Tuhan-nya dan sifat-sifat-Nya, sudah kehilangan kesedaran pentingnya hubungan manusia dengan manusia lain dan alam sejagatnya.

Fenomena ini berpunca daripada ketiadaan kefahaman asas yang jelas tentang tujuan penciptaan manusia, atau memang tidak mengetahuinya. Selayaknya untuk menjadi seorang Islam harus mengetahui dahulu kedudukan ini sebelum mengenali atau membina ideologi-ideologi yang lain. Barulah imej Islam kita jelas komprehensif dan universal, dan kehidupan Islam kita jelas.

Baca semula tujuan penciptaan manusia di halaman berkenaan.

No comments: