27 March 2023

 Ayat 69 al-Araf yang menyebut Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya, Jika dihalusi kita dapati menyentuh tiga aspek yang berkait dengan penciptaan manusia, iaitu dari mana aku datang, apa yang aku lakukan di sini sekarang ini, dan ke mana aku akan pergi dari sini.

Secara ringkas, ungkapan ketika Allah menjadikan kamu itu ialah aspek dari mana aku datang, iaitu kita datang dari Allah swt, manakala ungkapan Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah itu pula adalah berkait dengan apa yang aku lakukan di sini iaitu di dunia, dan supaya kamu berjaya itu menggambarkan alam akhirat.

Jadi aspek yang tiga itu membentuk satu gagasan idea bahawa Islam adalah agama Tiga Persoalan. Secara tidak langsung gagasan ini mengajar kita erti pola kehidupan atau perjalanan hidup kita, bermula dari Rahim ibu, lahir ke dunia menjalani kehidupan, kemudian mati dan pergi ke akhirat.

Bolehkah jika saya katakan bahawa fasa ke-2 itu maksudnya ialah bahawa kita berada di bumi ini tujuannya ialah menjalani kehidupan!

Kehidupan yang bertepatan dengan tujuan penciptaan manusia akan dirahmati Allah. Secara ringkas, mengikut syariat Islam, ada lima aspek yang mesti dijaga ketika berada di fasa kedua ini:

  • menjaga agama
  • menjaga nyawa
  • menjaga akal
  • menjaga keturunan, dan
  • menjaga harta.

Inilah agenda utama kita ketika menjalani kehidupan. Agenda utama bererti yang harus disempurnakan terlebih dahulu sebelum melakukan aspek-aspek yang lain. Saya ingin menarik perhatian kepada mereka terutama para pesara, janganlah sampai meletakkan soal ibadah-ibadah kerohanian di atas menjaga kehidupan.

Sedarilah bahawa Allah mengatur jadual waktu hidup kita adalah seperti yang disebut oleh ayat 10 al-Jumuah, Selepas sembahyang, bertaburanlah ke seluruh pelusuk dunia untuk mencari apa sahaja yang kamu hajati. Jadi jadual kehidupan seharian kita adalah seperti yang digambarkan ini:

Sila komen, turunkan komen kalian di bawah ini.

No comments: