Dalam Islam asas kepada pembinaan sesebuah
masyarakat yang stabil ialah keluarga, bukan individu. Yang bererti sesebuah keluarga yang kukuh dan harmoni akan membina
sebuah masyarakat yang sedemikian juga. Ini tentunya berbebeza dengan
sesebuah masyarakat yang terbina daripada idea fikiran manusia di mana mereka
meletakkan individu sebagai asas pembinaannya.
Dalam sejarah terbukti
sesebuah masyarakat yang berkonsep-kan libral atau terbuka, iaitu berasaskan kepada
kebebasan individu banyak menimbulkan masalah yang menyebabkannya tidak stabil
dan tidak sihat.
Masyarakat yang dipanggil free societies (saya ambil kata-kata
Abdul Wahid Hamid dalam bukunya Islam the Natural Way) misalnya meletakkan
individu sebagai unit asasnya, yang konsepnya ialah kebebasan mutlak individu, iaitu di mana seseorang individu bebas
untuk melakukan apa yang dia mahu, bila-bila masa yang dia mahu dan bagaimana
cara yang dia mahu.
Oleh kerana seseorang individu bebas
menjalani kehidupan, maka terjadilah gejala-gejala di mana seseorang boleh
tinggal dengan siapa sahaja yang dia mahu, seorang wanita boleh tinggal dengan
seorang lelaki yang tidak ada hubungan kekeluargaan, seorang bapa tidak sedar
siapa dirinya, manakala anak atau anak-anaknya pula pun kurang sedar siapakah
bapanya. Inilah antara kesan-kesan yang
dapat dilihat dalam sebuah masyarakat yang berkonsep-kan libral, yang
meletakkan individu sebagai asas pembinaannya.
Ada pula negara yang menggunakan sistem di
mana commune atau kelompok mengambil
peranan dalam sesebuah masyarakat (tidak meletakkan individu sebagai unit asas
pembinaannya). Mengikut konsep commune,
pemeliharaan kanak-kanak sudah menjadi industri sosial, yang bermaksud
penjagaan, pendidikan dan penyediaan keperluan kanak-kanak adalah urusan awam,
bukan keluarganya. Ibu bapa hanya mengambil sebahagian kecil daripada
peranannya.
Tidak dinafikan sistem seperti ini jika
dilihat sekali lalu banyak kebaikannya kerana
setiap orang kanak-kanak kelihatannya terbela,
cukup selesa dengan kebendaan dan kecekapan pengurusan-nya, tidak
memungkinkan sesetengah kanak-kanak terbiar atau tinggal dalam kemiskinan.
Namun aspek-aspek kasih sayang kekeluargaan dan kehangatan hubungan anak dengan
keluarga renggang, sekali gus nilai-nilai
kemanusiaan menurun, malah boleh memusnahkan hubungan dan keperluan semulajadi
manusia.
Bagi kedua-dua contoh di atas ini tidaklah
pula ditujukan kepada mana-mana negara secara khusus, namun tidak mustahil jika
ada orang yang mengarahkan pandangan ke negara barat seperti Amerika, yang satu
lagi itu nadanya seperti merujuk kepada negara sosialis. Contoh yang diturunkan
di sini bertujuan hendak menyatakan bahawa kedua-dua sistem itu sebagai gagal
dalam cita-cita mengujudkan sebuah negara yang stabil, kerana ideanya adalah
berasaskan buah fikiran manusia.
Memanglah jika kebebasan individu dijadikan
asas, faktor hubungan atau ikatan antara individu akan longgar, jadi sesebuah
masyarakat yang terbina daripada keadaan ini juga akan menjadi masyarakat yang
tidak stabil. Kebebasan individu akan mencetus perbezaan pendapat antara
seorang dengan yang lain. Ini akan membawa kepada terbentuknya kebudayaan dan
cara hidup yang tidak jelas polanya.
Dalam
contoh di atas itu tadi, apakah mereka sengaja tidak meletakkan kestabilan
masyarakat sebagai wawasan untuk negara-nya? Jika demikian ke manakah
halatujunya? Rasanya mustahil, kerana mereka pasti sedar bahawa kestabilan
sesebuah masyarakat dan negara adalah antara faktor asas kestabilan ekonomi.
Justeru faktor ini adalah amat penting bagi sesebuah negara. Lalu, apa yang boleh
dikatakan di sini ialah bahawa mereka seperti tidak mahu menggunakan peraturan
yang telah disediakan, sebaliknya lebih rela bereksperimen dengan polisi dan
peraturan mereka sendiri.
Masyarakat Islam
Islam memandang kedua-dua contoh di atas
tadi sebagai sesuatu yang palsu dan tiruan, yang mengakibatkan tekanan dan
ketegangan kepada setiap orang, lebih-lebih lagi bagi golongan wanita dan
kanak-kanak, dan mencetuskan kacau-bilau seperti jenayah dan gejala juvana.
Islam mengajar manusia
bahawa unit asas sesebuah masyarakat ialah keluarga, dan setiap individu di dalamnya bukan
individu seperti yang disebut di atas tadi,
yang berpegang kepada kebebasan, boleh melakukan apa yang dia mahu, dan
bila-bila masa yang dia mahu. Individu Islam sikapnya berpegang kepada dirinya
sebagai mukallaf, berilmu pengetahuan, hukum syariah, tahu halal haram dan yang
sentiasa membangunkan akhlak dan kerohaniannya.
Banyak undang-undang Islam yang memacu
pemeliharaan institusi keluarga dan menjaga jaringan kekeluargaan. Misalnya
seperti yang akan kita lihat kemudian bahawa Islam menekankan kepada
perlindungan keluarga. Dalam pada itu pemeliharaan terhadap identiti
kanak-kanak dan asuhannya juga dilindungi. Itu sebabnya mengapa zina dan
sumbang mahram dilarang dan mendapat hukuman yang berat. Ini membayangkan
betapa pentingnya sesebuah keluarga itu dalam pembinaan masyarakat Islam.
Islam tidak membenarkan seseorang individu
yang benar-benar bebas untuk melakukan apa sahaja yang dia mahu, bila-bila masa
dia mahu. Justeru mana-mana sistem yang cuba untuk membuat individu sebagai unit
asas masyarakat dan memberinya kebebasan tidak terbatas, tidak boleh diharapkan
untuk mengujudkan ikatan dan keperluan yang semulajadi antara ahli-ahli dalam
masyarakatnya. Jadi dari pandangan Islam, sesebuah keluarga yang kukuh teguh
adalah terbina tiga faktor iaitu:
1. tali persaudaraan atau pertalian darah,
2. komitmen perkahwinan,
3. iman.
Tali persaudaraan dan pertalian darah
adalah merupakan hubungan yang paling kukuh antara seorang individu dengan yang
lainnya. Misalnya kasih sayang seorang ibu tidak boleh diganti dengan seorang
yang lain, sesebuah keluarga tidak boleh didirikan dengan mengambil anak angkat
dengan pengambilan anak yatim piatu atau kanak-kanak terbiar, walaupun
dibenarkan tetapi tidak boleh dibin atau dibintikan nama keluarga yang
mengambilnya dan tidak juga mendapat hak-hak seperti seorang waris.
Perkahwinan adalah satu caranya untuk
menghubungkan antara sebuah keluarga dengan sebuah keluarga yang lain. Tidak
ada kaedah lain yang dapat membina hubungan yang aman dan damai. Hubungan
seksual dan pemeliharaan kanak-kanak yang dibina dengan penggubalan
undang-undang yang membenarkan keintiman seksual suka sama suka, tinggal
bersama dan sebagainya tidak menjamin untuk melahirkan sesebuah keluarga.
Faktor yang sangat penting dalam pembinaan
sesebuah keluarga yang utuh dan kukuh tidak lain dan tidak bukan ialah iman dan
komitmen kepada Islam. Kita lihat, jika sesebuah keluarga yang setiap ahli di
dalamnya mempunyai matlamat dan minat yang sama, citarasa yang sama, pegangan
dan kepercayaan yang sama, pastinya akan berada dalam iklim yang paling harmoni
berbanding dengan keluarga yang terdiri daripada individu yang berlainan
fahaman dan agama.
Dalam sesetengah kes, iman mengatasi komitmen
persaudaraan atau perkahwinan. Misalnya seseorang Islam boleh sahaja memberi
kasih sayang dan menjaga ibu bapanya dengan penuh hormat dan hemah walaupun
mereka bukan beragama Islam, cuma dia tidak dibenarkan untuk mematuhi kehendak
ibu bapanya dalam hal-hal yang bercanggah dengan Islam. Umpamanya dia tidak
boleh mentaati kedua ibu bapanya jika diminta mempercayai kepada tuhan-tuhan
selain daripada Allah yang Maha Esa, atau melakukan apa-apa tindakan yang protes
kepada Tuhan. Malah dalam keadaan sebegini seseorang yang beragama Islam
dibenarkan menentang ibu bapa sendiri atau anak-anaknya jika mereka aktif
sentiasa mencari peluang untuk menentang atau mempersoalkan kedudukan agama
Islam dan kepentingan umat Islam.
Terdapat banyak sejarah terkenal, yang
menunjukkan bahawa iman memang tidak boleh dijual-beli. Misalnya sejarah Nabi
Noh - baginda tidak mahu menyelamatkan anak yang derhaka itu dari bencana
banjir; kes Nabi Ibrahim dengan bapanya yang menjadi kepala berhala; Nabi Lot
dengan isterinya yang tidak bermoral, malah pada zaman Nabi Muhammad juga
mencatat sejarah mengenai sahabat-sahabatnya yang tidak sebulu dengan bapanya,
ibunya atau anak yang tidak seagama dengannya. Kesemuanya atas faktor iman.
Iman
juga boleh mengatasi dan memutuskan hubungan silaturrahim yang terbina daripada
perkahwinan. Misalnya seorang isteri yang memeluk agama Islam dikehendaki
menceraikan suaminya yang terus kekal sebagai bukan Islam. Iman jugalah yang
akan menentukan sama ada seorang wanita atau lelaki yang walaupun sama-sama Islam
boleh berkahwin atau tidak.
No comments:
Post a Comment