Nilai
kemuliaan semulajadi manusia seperti kebenaran, kebaikan, kasih sayang,
keadilan, dan kecantikan telah dan sedang berterusan terabai secara meluas,
malah bagi sesetengah negara diterbalikkan. Akibat daripada itu, Islam yang
sepatutnya sebagai cara hidup untuk
kesejahteraan sekalian alam termasuk manusia seperti yang disebut oleh ayat 107
surah al-Anbiya’ itu sudah hilang fungsinya. Jadi, apa yang kita dapati ialah
berjuta-juta orang di dunia hari ini dilanda oleh pengisaran kemiskinan dan
kebuluran, dengan penindasan dan eksploitasi, dengan keganasan dan kesan-kesan
yang buruk dari peperangan yang tidak adil. Berjuta-juta
yang lain pula menderita akibat daripada kejahilan dan mengejar cita-cita
palsu, dan akibat daripada apa yang mereka telah lakukan kepada bumi Allah dan
makhluk Tuhan
Fenomena di atas ini
menyebabkan imej Islam sebagai cara hidup
hanya tinggal sebagai selogan-slogan maya – ada tetapi tidak dapat dilihat atau
dipegang. Sebaliknya segala kebejatan itu tadi yang dilihat sebagai cara hidup
yang lebih praktikal. Bagi kalangan orang Islam yang benar-benar mempunyai
kefahaman yang tepat tentang Islam mereka sedar tentang perkara ini. Mereka
sedar bahawa fenomena kehidupan hari ini bukanlah cara hidup yang dianjurkan
oleh Islam. Tetapi kebanyakannya hanya mampu melihat dan menyesali sahaja,
seakan-akan tidak ada jalan untuk memperbaikinya, lebih-lebih lagi kerana
berlaku di negara-negara luar sana. Bagaimanapun apakah cukup sekadar
mengetahui, melihat, menyesali sahaja, dengan kata lain apakah itu yang
diajarkan oleh Islam lantaran kejadiannya berlaku bukan dalam negara. Atau
apakah kita yang memegang amanah sebagai khalifah di bumi ini rasa sudah
terlepas dari tanggungjawab setelah melibat diri dengan keadaan-keadaan dalam
negara sendiri sahaja!
Apakah perkaitannya dengan
diri kita!
Menurut
Islam, manusia hidup di muka bumi ini sebagai pemegang amanah sepatutnya
mengambil berat terhadap gejala yang melanda manusia dan alam sekitar, dan
amanah ini bukanlah terbatas kepada isu-isu dalam negara sahaja.
Amanah
bukanalah sesuatu yang boleh dipunyai oleh seseorang, tetapi adalah
tanggungjawab dan kewajipan bagi mengujudkan keamanan dan keadilan, bebas
daripada kelaparan dan ketakutan. Manusia, sebagai pemegang amanah Allah
mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa hak-hak menikmati sumber-sumber
bumi tidak disalahgunakan – tidak boleh mencemarkan air bumi dan tidak pula
menyembelih haiwan kecuali untuk makanan atau untuk mengelakkan penyebaran
penyakit.
Manusia yang
dalam dirinya ada iman dan hati nurani sepatutnya merasa tersentuh oleh isu-isu
ketidakadilan yang berlaku dan penderitaan-penderitaan yang sedang dirasai oleh
mangsa, malah makhluk keseluruhannya seperti di atas itu.
Sebagai
khalifah rasa kepedulian boleh kita mulakan atas kapisiti diri kita sebagai
individu, bukan mesti bersama dengan yang lain dalam satu kumpulan. Ini kerana
manusia memang perlu saling bergantung antara satu sama lain, dan tidak
mustahil seseorang individu boleh mengubah nasib ribuan manusia yang berselerak
di pelusuk dunia ini. Seseorang yang memiliki harta dan kuasa pada bila-bila
masa sahaja boleh bertindak sendirian.
Dengan segala
kemajuan teknologi yang ada hari ini menyebabkan dunia ini seperti sudah
menjadi kecil – berita, barangan dan manusia bergerak pantas, dan begitu juga
penyakit, kemerosotan ekonomi dan sebagainya boleh memberi kesan terhadap diri
kita sendiri. Seseorang yang tinggal dalam lingkungan daerah yang berlaku wabak
penyakit belum tentu selamat, mungkin juga terdedah kepada jenayah kecurian dan
samun yang dilakukan oleh mereka yang kelaparan, dan sebagainya.
Jika setiap
individu menyedari amanah terhadap
manusia lain dan sekitaran yang ditanggungnya, sudah memadai untuk menjadi
bekal bagi membuat pembaikan. Sebagai pemegang amanah kita sepatutnya berfikir, paling kurang:
·
kekayaan yang ada dalam kuasanya bukanlah hak anda
yang mutlak tetapi harus ingat anda hanya sebagai pengurusnya,
·
mahu melihat manusia hidup dalam aman dan di bawah
keadilan,
·
mahu melihat mereka bebas dari keadaan kelaparan
dan ketakutan,
·
merasai ada tanggungjawab agar segala nikmat yang
diperolehinya dari sumber-sumber bumi tidak disalahguna, umpamanya mencemarkan
sumber air, membunuh binatang selain daripada untuk makan, tidak menimbulkan
gajala penyakit atau menyebarkannya.
Hanya individu yang merasa
ada ikatan yang erat antara dirinya dengan Tuhannya sahaja yang akan menyahut
seruan-seruan di atas ini, yang akan mendorongnya untuk mengambil
tanggungjawab. Jika tidak kita akan tergolong dalam golongan mereka yang
mengkhianati agama, yang memperlekeh agama seperti yang disebut dalam surah
al-Maun ayat 1-3, iaitu orang-orang yang tidak ambil peduli terhadap golongan
miskin.
Surah al-Maun menunjukkan
bahawa Islam tidak menetapkan upacara agama yang ritual semata-mata, tidak juga
sekadar dogma yang tidak bermaya, atau budaya misteri. Tetapi Islam haruslah
yang dapat menanam benih kepercayaan kepada Tuhan dan tanggungjawab universal
untuk manusia sejagat. Kebertanggungjawaban adalah untuk manusia
keseluruhannya, tanpa mengira fahaman agama, bangsa atau warna kulit. Ini
adalah selaras dengan ayat 107 surah al-Anbiya’ yang menyatakan bahawa peranan
dan mesej Nabi saw adalah untuk
kesejahteraan seluruh alam. Apabila disebut seluruh alam bererti tidak terbatas kepada satu-satu tempat sahaja
tetapi menjangkau alam jagatraya di luar sana.
Tentu ada yang
tertanya-tanya, misalnya, apakah yang dapat manusia lakukan kepada alam di luar
sana? Kita ambil satu contoh. Bahan chloro-fluoro-carbon
(cfc) yang digunakan untuk bahan-bahan semburan seperti semburan anti serangga
itu boleh memusnahkan lapisan ozon bumi. Lapisan ozon Allah swt jadikan sebagai
perisai yang melindungi manusia dari pancaran lampau-ungu (uv) yang berlebihan,
justeru harus dipelihara kewujudannya. Sebagai individu boleh sahaja mengambil
langkah mengawal penggunaannya atau jika mungkin mengelakkannya bagi
mengurangkan kesan dan akibatnya. Penebangan hutan yang tidak terkawal oleh
individu yang tamak pula boleh membawa kepada pemanasan global, justeru ini
harus dielakkan. Ini hanya sekadar dua contoh sahaja apa yang dapat dilakukan
oleh seseorang individu.
Manusia
yang mempunyai hati nurani dalam dirinya sepatutnya merasa tersentuh oleh
ketidakadilan dan penderitaan yang dialami oleh manusia lain dan makhluk Allah
secara keseluruhannya. Sebagai makhluk yang dikurnia dengan hidayah akal budi,
agama dan taufik, seharusnya ada sedikit perasaan kerana tindakan seseorang
individu boleh menjejaskan mata pencarian dan keselamatan beribu-ribu orang di
dalam negara mahupun di negara-negara lain di dunia yang kita tahu memang
saling berhubung kait. Kepantasan perjalanan manusia, berita, dan
barang-barang, sepantas itu juga dengan penyebaran penyakit. Naik turun ekonomi
dan kemusnahan dari peperangan jarak jauh akan memberi kesan kepada setiap orang
di bahagian mana dunia sekalipun. Apakah kita rasa segala kebejatan yang melanda itu tidak ada kaitannya dengan kita. Misalnya, apabila negara tempat kita memasarkan produk kita dilanda masalah apakah kita tidak akan merasai kesannya!
No comments:
Post a Comment