Ibadah puasa yang tidak sampai mencapai matlamatnya boleh dianggap sebagai ibadah adat sahaja. Ini bukan bererti bahawa orang-orang yang sebegini sengaja memilih jalan ini, tetapi besar kemungkinannya kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan; ilmunya setakat yang diperolehi ketika di bangku sekolah. Rugilah.
Jadi di sini ingin diturunkan sedikit secara ringkas tentang kepentingan ilmu tentang puasa, agar amal yang kita lakukan itu mencapai matlamatnya. Hal ini sangat penting lantaran puasa adalah salah satu rukun Islam. Rukun bererti asas, tonggak, tiang, manakala Islam adalah cara hidup. Jadi dengan ilmu ini kita boleh gunakan untuk dijadikan asas etika dan peraturan hidup supaya kita menjadi orang yang lebih beriman.
Matlamat ibadah pasa
Tujuan atau matlamat sesuatu ibadah
adalah terselindung di sebalik hukum-hakam, pergerakan-pergerakan atau
bacaannya. Misalnya, bagi ibadah sembahyang matlamatnya terselindung di sebalik
rukun-rukun qalbi, qauli dan feeli di samping hukum-hakamnya, bagi ibadah haji pula terselindung
di sebalik hukum-hakam dan perlakuan-perlakuan yang ditetapkan di dalamnya,
tetapi bagi ibadah zakat dan puasa, yang tidak ada rukun feeli misalnya mungkin agak sukar mengenalinya, melainkan dengan
ilmu yang kita perolehi dari bacaan-bacaan atau dalil-dalil naqlinya. Untuk ini harus ada sedikit
usaha untuk menyelongkarnya, namun pokoknya ialah tanggapan kita terhadap
sesuatu ibadah itu – jika kita bertanggapan bahawa setiap ibadah ada
matlamatnya seperti yang disebut oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi itu, maka
kita akan berusaha mencarinya, tanggapan kita itu menjadi pendorongnya,
sebaliknya jika kita tidak mempunyai tanggapan tersebut maka matlamatnya jauh
daripada kita, inilah sebabnya kita diwajibkan menuntut ilmu sebelum beramal.
Kata Yusuf al-Qaradhawi, ‘Ilmu
itu harus didahulukan daripada amal, kerana ilmu merupakan petunjuk dan pemberi
arah terhadap amalan yang akan dilakukan’ (Fiqh
Keutamaan, 79).
Kenyataan beliau ini disertakan pula
dengan hadis yang maksudnya, ‘Ilmu
itu pemimpin, dan amalan adalah pengikutnya’.
(Fiqh Keutamaan, 79)
Ilmulah yang akan memandu kita bagaimana
caranya yang betul untuk melakukan sesuatu amalan, tanpanya boleh membawa
kepada amalan kita terbatal, ini mencakupi amalan khusus iaitu sembahyang,
zakat, puasa dan haji, dan amal-amal ibadah yang lain. Bagi ibadah sembahyang
misalnya, seseorang yang tidak mempunyai ilmu tentang syarat-syarat sujud boleh
menyebabkan sujudnya batal dan sekali gus membatalkan sembahyangnya, bagi
ibadah haji seseorang yang kurang faham tentang haji ifrad, haji tamatu’ dan
haji qiran boleh menyebabkan hajinya batal juga, begitu juga yang lain-lain.
Serupa juga halnya seseorang yang tidak berilmu tidak akan menyedari bahawa
ibadah puasa kita ada matlamatnya menyebabkan ibadah yang dilakukan itu sah tetapi ditolak, di
akhirat kelak tidak diterima, begitulah betapa pentingnya ilmu untuk mengenali
konsep sesuatu ibadah.
Tanpa ilmu juga menyebabkan seseorang
yang pada zahirnya kaki sembahyang tetapi masih melakukan kemungkaran sama ada
yang kecil mahupun yang besar, inilah yang dimaksudkan oleh satu ayat dalam
al-Quran, yang maksudnya, ‘Sesungguhnya
yang takut kepada Allah antara hamba-hambanya hanyalah ulama’… (Fatir, 35: 28). Ulama’ dalam ayat ini adalah bermaksud orang yang berilmu, bukan ulama’ seperti
yang ditanggapi oleh kebanyakan kita. Manakala sebuah hadis pula menyebut, yang
maksudnya, ‘Sesiapa
menghendaki kebaikan daripada Allah maka hendaklah dia memahami ajaran
agamanya’ (Fiqh Keutamaan, 81).
Apabila kita memahami ajaran agama kita
akan beramal dan amalannya baik serta diterima. Inilah juga sebabnya ayat yang
pertama diturunkan ialah Bacalah. Ada
baiknya jika saya turunkan serangkai kata dari Umar Abdul Aziz, yang maksudnya, ‘Sesiapa
yang melakukan suatu pekerjaan tanpa ilmu pengetahuan berkenaan dengan perkara
itu maka apa yang dirosakkan adalah lebih banyak daripada apa yang dia
perbaiki’ (Fiqh Keutamaan, 82).
Sehubungan ini Imam Hasan al-Basri
mengingatkan, ‘Orang
yang beramal tetapi tidak disertai dengan ilmu pengetahuan tentang perkara
tersebut bagaikan orang yang berjalan tetapi tidak menyusuri jalan yang
sebenar; orang yang melakukan sesuatu tetapi tidak mempunyai pengetahuan
tentang sesuatu itu maka dia akan membuat keburukan yang lebih banyak daripada
kebaikan yang dilakukan’ (Fiqh Keutamaan, 84).
Demikianlah betapa pentingnya ilmu
pengetahuan sebelum beramal, dan kesan dan akibat orang yang beramal tanpa ilmu
pengetahuan tentang amalan yang dilakukan.
Begitu juga halnya dalam ibadah puasa, memerlukan ilmu
tentang puasa, tanpanya ibadah puasa kita mungkin menjadi sia-sia sahaja; tanpa
ilmu pengetahuan juga kita tidak dapat mengenali matlamatnya, kerana tidak
mempunyai kemahiran untuk menyelaminya maksud keterangan-keterangan mahupun
ayat al-Quran yang berkaitannya, menyebabkan kita tidak dapat melakukan sesuatu
sewajarnya.
Insya Allah pada kesempatan lain jika diizinkan Allah akan saya sambung. Untuk mencapai matlamat ibadah puasa akan saya sebutkan tentang Roh Ibadah Puasa dan diikuti dengan Puasa Membina Takwa sebagai contoh bagaimana harus kita berfikir tentang sesuatu ibadah, lebih-lebih lagi yang terkandung dalam Rukun Islam kita. Wallahu aalam.
No comments:
Post a Comment