Dalam kehidupan biasa,
kita dibenarkan makan-minum, tetapi ketika menjalani ibadah puasa, makan-minum
adalah dilarang iaitu membatalkan puasa. Maka jelaslah di sini bahawa puasa
adalah ibadah yang melatih kita menjadi seorang yang sedia patuh tunduk dengan
larangan. Hanya orang yang bersikap sabar sahaja yang dapat menerima larangan.
Jadi larangan-larangan Allah swt kepada orang yang berpuasa merupakan suatu
pendekatan ke arah menjadi orang yang bersabar.
Menahan diri dari
melakukan perkara-perkara yang halal hanya dapat dilakukan oleh orang-orang
yang sabar sahaja. Manakan tidak, makan-minum pada hukum asalnya adalah halal
tetapi dalam bulan Ramadan Allah mengharamkannya pula. Inilah ujian Allah.
Hanya orang-orang yang sabar sahaja dapat melakukannya. Hanya orang-orang yang
benar-benar menyerah diri sepenuhnya sahaja akan merelakan dirinya tunduk
dengan perintah itu. Jika benar-benar ikhlas maka akan diberi ganjaran pahala
yang tidak terbatas.
‘Hanya
orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.’ (Az-Zumar,
39: 10)
Orang sabar yang
dimaksudkan dalam ayat ini ialah orang yang berpuasa - tanpa kesabaran adalah
sukar untuk kita berpuasa. Sebagai manusia, walaupun dalam keadaan berpuasa,
masih mempunyai keinginan untuk makan-minum pada waktu-waktu tertentu pada
sianga hari. Namun apakah motivasinya terus menahan diri dari keinginan itu?
Tentu bukan kerana takut atau malu dengan manusia lain kerana kita boleh sahaja
bersembunyi dari pandangan orang untuk makan atau minum, tetapi kita tetap
sabar dan terus berpuasa walaupun dalam keadaan terlalu ingin untuk
makan-minum.
Nilai sabar dalam
kehidupan biasa, menyumbang kepada pembentukan hidup bermasyarakat yang
teratur. Contohnya, dalam peraturan jalanraya terdapat larangan-larangan yang
harus dipatuhi demi keselamatan dan ketenteraman bersama seperti peraturan
lampu trafik, peraturan berbaris dalam kesesakan di mana kita dilarang memotong
Q, dan sebagainya. Walaupun pada zahirnya ini adalah peraturan manusia, namun
tujuannya adalah demi ketertiban dalam menjalani hidup bersama orang lain. Jika
setiap orang mematuhi peraturan-peraturan yang sudah diterima pakai oleh orang
ramai, maka akan timbul suasana aman tenteram dan sejahtera. Dengan sikap sabar
dalam diri setiap orang, maka tidak akan berlaku perselisihan antara seorang
individu dengan individu lain. Peraturan-peraturan yang sudah diterima pakai
oleh sesebuah masyarakat sudah menjadi norma-norma kehidupan, melanggar
kebiasaan hidup ini akan dilihat sebagai suatu yang tidak wajar, tidak
berakhlak. Jadi di sini roh ibadah puasa telah kita jelmakan ke dalam hidup
seharian secara praktikal. Inilah antara tujuan atau matlamat ibadah puasa yang
kita lakukan.
Sabar juga menjadi
bekalan asas ke arah mencapai sesuatu cita-cita. Hanya orang yang sabar akan
berjaya, dan sentiasa sanggup mempertingkatkan lagi pencapaiannya ke tahap yang
lebih tinggi. Sebaliknya orang yang tidak sabar akan cepat putus asa, tidak
bersedia untuk mengorbankan masa dan tenaganya untuk mencapai kejayaan
sewajarnya. Dia akan kehilangan cita-citanya. Banyak juga kerja-kerja yang
memerlukan sabar. Hanya orang yang sabar sahaja akan konsisten dengan tugas dan
kerjayanya. Bukan semua orang sanggup bersabar dalam tugas dan kerjayanya. Kerukunan
rumahtangga, mengurus anak dan keluarga, menjaga kebersihannya, juga memerlukan
sabar. Di sini, kesabaran adalah suatu ujian, yang harus dilalui dan diatasi.
Jadi, sabar adalah kunci kejayaan dalam banyak perkara kerana orang yang sabar memiliki
identitas yang jelas, pendirian yang teguh dan pertahanan mental yang tangguh
seperti yang tersebut sebelum ini. Jadi untuk apa jua perkara yang memerlukan
kesabaran, ingatlah peringatan Allah swt yang maksudnya,
‘Hai
orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan
tetaplah bersiap siaga (diperbatasan negerimu), dan bertaqwalah kepada Allah,
supaya kamu memperoleh kebahagiaan.’ (ali-Imran, 200)
Sebenarnya dalam
peribadi Rasulullah saw dan nabi-nabi yang lainnya terdapat contoh yang jelas
sifat kesabarannya. Malah ujian yang dihadapinya lebih berat daripada
ujian-ujian terhadap orang macam kita. Nabi Muhammad saw sentiasa, ya sentiasa
dianiaya, disiksa, dan diprotes oleh kaum quraisy, Nabi Isa diganggu oleh Bani
Israil, Nabi Nuh sentiasa berhadapan dengan gangguan kaumnya, dan Nabi Ayub
ditimpa penyakit. Tetapi apakah sikap para nabi dan rasul ini. Abdullah bin
Mas’ud meriwayatkan,
‘Seolah-olah
saya masih teringat Rasulullah saw ketika beliau melukiskan seorang Nabi yang
terdahalu, ketika dipukul oleh kaumnya hingga berlumuran darah, sampai mengusap
darah dari wajahnya sambil berkata: Ya Allah ampunkanlah kaumku, kerana
sesungguhnya mereka itu tidak mengerti.’ (Tingkat Ketenangan
dan Kebahagiaan Mu’min, 185)
Begitu sekali tahap
sabar para nabi. Walaupun dipukul sehingga berdarah, baginda tidak membalasnya,
malah sebaliknya memohon Allah mengampunkan kaumnya dengan bersangka baik
bahawa mereka itu tidak mengerti.
Apakah yang menjadi
kunci kepada sifat sabar? Apakah yang mendorong kita agar mempunyai sifat sabar
seperti para nabi dan rasul Allah? Jawabnya ialah kesedaran. Sebagaimana yang
tersebut dalam al-Quran, yang maksudnya,
‘Dan
bagaimana engkau akan dapat bersabar atas sesuatu, sedang engkau belum
mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?’ (al-Kahf, 68)
Maksud di sini ialah
hanya orang-orang yang mempunyai pengetahuan tentang sesuatu perkara sahaja
yang akan tahan sabar. Kesabaran seseorang yang sedang menjalankan tugas
hariannya, akan dapat memberikan khidmatnya dengan cemerlang kerana dia
menyedari bahawa Allah akan memberinya ganjaran, di samping gaji yang
diperolehinya setiap bulan. Tanpa kesedaran begini, khidmat yang diberikan
kepada pelanggannya tidak mungkin dapat mencapai tahap cemerlang. Jadi kunci
kesabaran ialah kesedaran, dan makrifat tentang sesuatu. Hanya orang yang arif
mengenai sesuatu perkara akan menjadikannya bersikap sabar. Seorang petani yang
arif tentang keperluan tanamannya akan bersabar memenuhi keperluan tersebut,
seperti membubuh baja dan menjaga dari makhluk perosak, supaya dapat
mengeluarkan hasil yang diharapkan. Begitu juga, seorang yang arif tentang
kenderaannya, seperti tahap kemampuannya, kelemahannya dan keperluannya
diservis apabila tiba waktunya, akan mempunyai sebuah kenderaan yang sentiasa
berkeadaan baik dan sempurna.
Bagi orang yang
mengharap rahmat Allah swt, kunci kesabaran ialah kecintaan kepada Allah swt
Orang-orang yang beriman dan tinggi kecintaannya akan bersikap sabar dan tekun
dalam setiap ibadah yang dilakukannya. Sabar dalam mengahadapi sebarang dugaan.
Sering disebut-sebut bahawa ujian-ujian yang diturunkan kepada kita adalah
tanda kecintaan Allah kepada hambaNya, sebagaimana sabda Rasulullah saw, yang
diriwayatkan oleh Tarmizi,
‘Sesungguhnya
besarnya pahala itu bergantung kepada besarnya ujian (bala). Dan sesungguhnya
Allah jika cinta kepada suatu kaum, mereka diuji. Barangsiapa yang reda
menerima ujian, maka baginya keredaan Allah, dan siapa yang murka, maka baginya
kemurkaan Allah.’ (Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mu’min, 188)
Jadi puasa adalah
antara pendekatan yang Allah sediakan bagi mencapai sifat sabar. Oleh kerana
sifat sabar sangat-sangat diperlukan dalam segala hal, baik yang menyentuh soal
hablumminallah atau hablumminannas, maka puasa diwajibkan, malah dijadikan sebagai
salah satu rukun Islam bagi satu pendekatan mendidik. Bersikap sabar dalam
menghadapi larangan-larangan yang dikenakan ketika menjalani ibadah puasa, akan
menjadi kebiasaan bersabar juga dalam segala hal dalam kehidupan. Ingatlah
peringatan Rasulullah saw yang sabdanya,
‘Siapa
yang berlatih bersabar, nescaya Allah akan menyabarkannya (menjadikannya sabar).’
(Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Dari
sudut ilmu Sains pun pernah disebutkan, latihan-latihan yang kita jalankan
merupakan satu seni menjinak-jinakkan sistem saraf. Jadi jika ibadah puasa kita
dapat membentuk sikap sabar, insyaallah akan mendapat rahmat-Nya.Projek puasa Ramadan
Justeru, ibadah puasa kita seharusnya disertakan pula dengan niat untuk membentuk sikap sabar. Dengan kata lain ibadah puasa Ramadan kita haruslah mempunyai objektif yang jelas, di sini ialah ke arah membentuk sikap sabar. Sesuai dengan imejnya sebagai bulan latihan atau bulan training maka puasa Ramadan sekarang ini kita lebihkan tumpuan kepada menerapkan sifat sabar.
Frasa kata sabar boleh dilihat dari sudut sabar menahan amarah, sabar dalam melakukan tindakan, sabar dalam menghadapi cubaan dan cabaran sekitaran, sabar terhadap sikap dan perangai rakan-rakan dan sebagainya. Jadi jika hendak dikhususkan lagi objektif ibadah puasa kita boleh sahaja diambil mana-mana satu.
Jika mengambil sabar menahan amarah sebagai objektifnya maka sepanjang kita melakukan ibadah puasa kali ini kita berikan lebih tumpuan kepada sikap ini. Misalnya jika ada orang yang mengajak bergaduh atau bertelingkah maka katakanlah aku berpuasa. Ini adalah ciri-ciri orang yang sabar. Jika terperangkap dalam kesesakan, ada pula orang yang memotong Q lafazkanlah sabar atau apa sahaja. Hal ini kita lakukan sepanjang menjalani ibadah puasa 29 atau 30 hari Ramadan ini.
Selepas habis Ramadan, 11 bulan yang berikutnya adalah tempoh bagi sesi praktikal. Ini adalah tempoh bagi kita bermuhasabah, mencerap diri sendiri adakah kita sudah berubah menjadi orang yang lebih sabar dari masa-masa sebelumnya. Di penghujung tempoh 11 bulan itu diharap kita sudah mencapai tahap kesabaran yang tinggi. Jika gagal maka objektif yang sama harus kita gunakan sekali lagi. Hanya setelah berjaya kita cari objektif yang lain bagi puasa Ramadan yang mendatang. Wallahu a'alam.
No comments:
Post a Comment