28 February 2020

Syarat mendapat pahala


Ada 105 ayat al-Quran yang berkait dengan pahala. Antaranya:
dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik’ (Al-Baqarah, 58).
sesiapa antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka’ (al-Baqarah, 62).
Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri’ (al-Baqarah, 272).
Dan banyak lagi.
Tajuk posting kali ini menekankan tentang syarat-syarat untuk mendapat pahala. Tiga ayat di atas menunjukkan syarat untuk mendapat pahala ialah mendatangkan kebajikan.

Dengan kata lain pahala tidak akan diberikan jika tidak memenuhi syarat (antaranya ialah yang mendatangkan kebajikan). Misalnya ada orang berkefahaman bahawa mengaji boleh mendapat pahala (asalkan mengaji). Mereka bersandarkan kepada sebuah hadis (hadis sahih).
Buat permulaan, alasan saya ialah bahawa fungsi hadis adalah menjelaskan ayat-ayat al-Quran. Dengan kata lain setiap hadis adalah disandarkan kepada ayat-ayat al-Quran. Jadi, jika ayat-ayat al-Quran menyebut bahawa pahala diberikan kepada setiap kebajikan bererti hadis berkenaan itu tertakluk kepada syarat ini. Yang bermaksud mengaji yang diikuti dengan memahaminya, dan mengamalkan ajaran-ajarannya dalam bentuk kebajikan.
Yang berkaitan dengan hadis tersebut itu menyebut kalau seseorang membaca alif laammiim maka dia akan memperoleh satu pahala kerana menyebut alif, satu pahala untuk menyebut laam, dan satu pahala untuk miim. Bermaksud bahawa kita memahami maksud-maksud tiga huruf itu tadi. (Bukan sekadar menyebut). Namun seseorang yang mengambil ‘naskah’ al-Quran untuk dibaca (mengaji) itu boleh meraih pahala – pahala diberikan kerana mendekatkan dirinya kepada al-Quran.
Ada lagi alasan-alasan selain yang di atas ini. Memerlukan perbincangan panjang lebar. Saya mengalu-alukan pandangan dari golongan bijak pandai dan agamawan, mencatatkannya di ruangan komen. Saya pun sedang belajar, tegurlah.

Beramal soleh tidak terhad kepada melakukan sembahyang, zakat, puasa dan haji, serta rangkaian-rangkaiannya sahaja tetapi mencakupi segala kebajikan yang dalam bentuk niat, percakapan dan perbuatan yang berkaitan dengan kehidupan seharian tetapi yang diredhai Allah.
Misalnya, jika kita melakukan sebarang kebaikan untuk diri sendiri, seperti yang disebut oleh ayat, dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentu kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah’ (al-Baqarah, 110).
Dan antara yang lain lagi ialah, sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya’ (al-Baqarah, 112)

Namun ada juga ayat yang menyebut kebajikan secara umum, yang bermaksud tidak disebut untuk diri sendiri atau orang lain. Asal sahaja kebajikan maka akan dijanjikan pahala. Dengan maksud lain ialah kebajikan untuk sekalian makhluk. Misalnya ayat berikut, ‘Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala’ (al-Baqarah, 118)

Namun harus diingat bahawa Allah mengingatkan agar kita tidak merosakkan pahala yang kita perolehi, seperti yang disebut oleh ayat,
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya’), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat’ (al-Baqarah, 264).
Pahala juga diberikan kepada orang yang bertakwa, seperti yang disebut oleh ayat, Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertakwa (nescaya mereka akan mendapat pahala)’ (al-Baqarah, 103). Di manakah letaknya kebajikan bagi orang yang bertakwa?
Antara syarat menjadi orang bertakwa ialah manhaj (kaedah) melakukan sesuatu niat, percakapan atau perbuatan, iaitu tidak menyinggung hati dan perasaan orang lain atau makhluk. Dengan kata lain dia tidak merosakkan kesejahteraan, keamanan atau kebahagiaan orang lain. Inilah orang yang diredhai Allah swt.

No comments: