20 March 2020

Sekali lagi posting kali ini adalah menyentuh soal sembahyang, kerana fenomena menunjukkan bahawa bagi kebanyakan orang melihat sebagai ibadah untuk ketuhanan semata-mata. Walahal sudah banyak kali ibadah ini disebut-sebut sebagai tiang agama, mencegah perbuatan keji dan mungkar, dan sebagainya tetapi tidak menjadi realiti. Ibadah ini masih kekal sebagai ibadah ketuhanan, ibadah untuk mengumpul pahala semata-mata, atau ibadah untuk mengelakkan dari masuk neraka sahaja. Ibadah ini seolah-olah tiada kaitannya dengan hal-hal kehidupan seharian.
Ada beberapa hadis yang menjelaskan bahawa konsep ibadah sembahyang di atas ini adalah tidak tepat. Antaranya menyebut, ‘Sembahyang kita belum menjamin masuk syurga kecuali setelah mendapat rahmat Allah’, dan satu hadis lagi menyebut, ‘Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskan dari api neraka, termasuk juga aku, melainkan rahmat Allah jua’.
Apakah dia rahmat Allah?
Prof. Dato’ Dr Haron Din dalam bukunya menyebut,
Setelah kita mempunyai keimanan dan membentuk sikap-sikap hidup berdasarkan rukun-rukun keimanan tersebut, atau setelah kita mempunyai gambaran mengenai hidup berdasarkan rukun-rukun itu, apakah yang seharusnya kita lakukan selepas itu?’ (Manusia dan Islam, 93)
Petikan di atas ini menggambarkan bahawa keimanan kita biarlah yang mampu membentuk sikap-sikap hidup. Petikan ini juga menggambarkan bahawa setelah kita mempunyai tanggapan mengenai hidup berdasarkan rukun-rukun Iman apakah yang harus kita lakukan selepas itu. Perhatikan baik-baik kedua-duanya ini.
Pertama, apakah dia iman, atau keimanan?
Seseorang yang dengan sukarelanya mengucap dua kalimah syahadah, atau seseorang yang dilahirkan oleh ibubapa yang menganut Islam lalu mengamalkan budaya yang condong kepada Islam bererti mereka adalah orang yang beriman. Beriman bererti percaya kepada enam perkara yang terkandung dalam Rukun Iman.
Mengikut tulisan Prof. Dato’ Dr Haron Din itu tadi menggambarkan bahawa kepercayaan ini harus dijadikan asas membentuk sikap-sikap hidup. Misalnya, setelah kita percaya kepada hari akhirat sikap kita harus sentiasa berhati-hati dari melakukan dosa dan kemungkaran. Inilah sikap-sikap hidup kita.
Kedua, keimanan menghendaki kita membuktikannya dengan menunaikan ibadah; ada empat ibadah yang diperintahkan iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji sahaja. Setelah kita mempunyai sikap-sikap hidup berdasarkan Rukun-rukun Iman apakah lagi yang harus kita lakukan? Persoalan ini menunjukkan bahawa setelah kita menunaikan ibadah-ibadah yang terkandung dalam Rukun Islam itu ada lagi yang harus kita lakukan.
Jadi dari kenyataan-kenyataan di atas ini dapatlah kita lihat bahawa ada sesuatu yang lain lagi yang harus kita lakukan selepas menunaikan sembahyang (sembahyang di sini ialah dalam konteksnya sebagai sembahyang yang ditunaikan sekadar mengikut takrif sahaja).
Ada sebuah riwayat yang sangat baik untuk kita jadikan teladan. Riwayat ini adalah berkaitan dengan apa yang kita bincangkan di atas tadi iaitu sembahyang sahaja tidak membawa kita ke syurga. Riwayat ini tercatat dalam buku Ke Arah Haji Yang Mabrur, yang disebut oleh Imam al-Hakim katanya daripada Jabir bin Abdullah ra, menyebut bahawa suatu hari Nabi Muhammad saw bertemu dengan para sahabat dan bersabda,
Malaikat Jibrail baru sahaja datang kepadaku dan berkata, Wahai Muhammad, demi Tuhan yang mengutuskanmu sebagai nabi yang benar, sesungguhnya ada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beribadah selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang terletak di tengah-tengah lautan. Lebar dan panjangnya adalah 30 hasta kali 30 hasta dan dikelilingi oleh laut seluas 4000 farsakh dari tiap penjuru. Di situ, Allah swt mengeluarkan baginya mata air yang jernih selebar satu jari yang memancarkan air yang tawar lalu ia bertakung di bawah bukit, juga pohon delima yang mengeluarkan buahnya pada setiap malam untuk dimakan pada hari tersebut. Apabila hari sudah siang, dia turun untuk mengambil wuduk dan memetik delima, lalu memakannya. Kemudian dia berdiri menunaikan sembahyang dan meminta kepada Tuhannya supaya dia dimati-kan dalam keadaan sujud dan bumi atau apa sahaja atidak dapat menghancurkannya sehinggalah dia dibangkitkan dalam keadaan sujud. Lalu Allah telah melaksanakan permintaannya.
Kami pasti akan melaluinya apabila kami turun dan naik ke langit dan kami juga mendapati di sisi ilmu Allah bahawa dia akan dibangkit-kan pada hari kiamat alau dihadapkan di hadapan Allah Azza Wajalla. Allah berfirman kepadanya (dengan memerintahkan kepada para malaikat), ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’. Allah berfirman, ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’. Allah berfirman lagi, ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’.
Lalu Allah berfirman kepada para malaikat, ‘Hitunglah hamba-Ku ini pada nikmat-Ku yang telah dikurniakan kepadanya dengan amalannya’. Maka, didapati nikmat penglihatannya telah merangkumi ibadah yang dilakukannya selama 500 tahun, sedangkan nikmat anggota tubuh badan yang lain masih berbaki (belum dihitung). Lalu Allah berfirman, ‘Masukkan hamba-Ku ke dalam neraka’. Ketika diterik menuju ke neraka, dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmat-Mu’. Maka Allah berfirman (kepada para malaikat), ‘Kembalikanlah ia’. Lalu dia dihadapkan di hadapan Allah dan Allah bertanya, ‘Wahai hamba-Ku, siapa yang menjadikanmu ketika dirimu masih tidak ada?’ Dia menjawab, ‘Engkau wahai Tuhan’. Allah bertanya, ‘Adakah ia disebabkan amalanmu atau rahmat-Ku?’ Dia menjawab, ‘Bahkan dengan rahmat-Mu.’ Allah bertanya, ‘Siapakah yang memberi kekuatan kepadamu untuk beribadah selama 500 tahun?’. Dia menjawab, ‘Engkau wahai Tuhanku’. Allah bertanya lagi, ‘Siapakah yang menempatkan engkau di atas bukit di tengah-tengah laut, mengeluarkan air segar yang tawar daripada sumber air laut yang masin, menumbuhkan sebiji buah delima sedangkan sesungguhnya ia hanya akan berbuah sekali sahaja dalam satu tahun, dan engkau mohon kepada-Ku untuk mati dalam keadaan sujud lalu Aku melakukannya?’. Jawabnya, ‘Engkau wahai Tuhanku’. Firman Allah semua itu adalah dengan rahmat-Ku’. (Ke Arah Haji Yang Mabrur, 23-24)
Mesej yang jelas di sini ialah bahawa sembahyang kita bukanlah amalan yang akan membawa kita ke syurga. Jadi betapa banyak mana sekalipun sembahyang yang kita lakukan, umpamanya mengikut riwayat ini ialah 500 tahun, belum dapat menjamin masuk syurga atau menjauhkan dari api neraka.
Lalu kita persoalkan untuk apakah sembahyang kita?
Sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah ibadah khusus, yang kita tunaikan bagi mematuhi perintah Allah swt, sebagai bukti keimanan kita. Antara tujuannya ialah seperti yang disebut oleh satu ayat yang maksudnya ‘Dirikanlah sembahyang untuk mengingatik-Ku.’ (Toha, 20: 14). Untuk apakah mengingati-Nya? Mengingati Allah swt bertujuan agar kita sentiasa takut melanggar larangannya, takut membuat dosa dan kemunkaran, takutnya kerana akan mendapat seksa di akhirat.
Diperintahkan, boleh membawa maksud permintaan terhadap sesuatu yang menjadi haknya, dengan kata lain, jika kita diperintahkan menunaikan sembahyang, zakat, puasa dan haji, menunjukkan bahawa ibadah-ibadah itu adalah hak Allah swt, kerana itu sekiranya Allah swt memerintahkan agar kita menunaikannya, bermaksud Allah menuntut hak-Nya. Jadi amalan menunaikan sembahyang mengikut takrif sahaja adalah ibarat melupuskan tuntutan-Nya, atau umpama membayar sewa rumah yang mesti ditunaikan jika sampai waktunya. Selama mana sekalipun kita tunaikannya rumah sewa itu kekal kepunyaan tuannya, bukan milik kita.
Justeru, mengikut konteks petikan di atas tadi kita perlu mendapatkan rahmat Allah swt dari ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji. Caranya ialah sepeerti yang disebut oleh Syeikh Abu Said al-Kharraz iaitu berbakti dan beramal soleh. Beramal di sini bukanlah mengamalkan sembahyang itu tetapi sesuatu yang lain.
Mengikut Kamus Dewan, amal bermaksud apa sahaja yang dilakukan, perbuatan, pekerjaan, dan disebut juga ialah perbuatan baik (yang mendatangkan faedah kepada orang lain). Beramal pula diberi maksud berbuat amal, berbuat kebajikan. Soleh bermaksud taat dan patuh kepada perintah Allah. Perhatikan baik-baik pengertian-pengertian ini.

Apakah dia rahmat?
Kamus Dewan memberi makna rahmat sebagai belas kasihan, kurnia, berkat, manakala merahmati diberi makna mengasihani, memberkati, menganugerahi, mengurniai. Pengertian ini menunjukkan sebahagian daripada sifat-sifat Allah swt iaitu sifat-sifatNya yang penyayang, pengasih dan seterusnya penganugerah. Jadi, secara umumnya, rahmat itu mengandungi pengertian kasih sayang, keadilan dan kesejahteraan.
Dalam al-Quran, perkataan rahmat disebut sebanyak 124 kali, yang membawa maksud sifat-sifat mengasihani, memberkati, menganugerahi. Antaranya, ayat al-Imran 3: 132, al-Qasas 28: 73, al-Saad 38: 43, ar-Rum 30: 36. Inilah sebahagian daripada 124 ayat yang terdapat dalam al-Quran tentang rahmat, iaitu anugerah Allah swt: siang dan malam, memberikan keluarga kepada manusia, dan memberi sesuatu yang menggembirakan, adalah sebahagian daripadanya.
Dapatlah kita bayangkan rahmat Allah yang lain. Umpamanya, jika disebut siang dan malam, maka di sana melibatkan bumi dan matahari. Kejadian siang-malam adalah kerana matahari memancarkan cahayanya ke bumi yang sentiasa berputar dua puluh empat jam sekali. Jadi mata-hari dan bumi juga adalah sebahagian daripada anugerah Allah, atau rahmat Allah. Kita maklum, bumi dan matahari, disebut oleh ilmu Sains sebagai berada dalam satu sistem iaitu sistem solar. Selain bumi, dalam sistem solar mempunyai enam lagi planet yang berada dalam sistem solar iaitu Marikh, Pluto, Jupiter, Venus dan Uranus, Saturn, Neptune. Maka kesemuanya ini adalah sebahagian lagi rahmat Allah swt yang berada di atas sana.
Bumi dan ruang angkasanya, di dalam perut bumi, di dalam air sungai dan lautan selain yang berada di muka bumi itu sendiri, sama ada yang dapat kita lihat, rasa, bau, dengar, sentuh, malah sebahagiannya tidak dapat dikesan dengan deria kita yang lima itu, adalah rahmat Allah swt belaka. Pendek kata terlalu banyak untuk dihitung bilangannya.
Rahmat dan nikmat: Seperti yang telah disebut sebelum ini, Kamus Dewan memberi makna rahmat sebagai sifat, ‘belas kasihan, kurnia, berkat’, dalam bentuk perlakuan disebut, ‘mengasihani, memberkati, menganugerahi, mengurnia’. Mengikut kontek makna ini, menunjukkan ada perkaitan antara rahmat dengan nikmat. Misalnya, seseorang yang mendapat belas kasihan akan merasai nikmat dari pemberian itu; atau seseorang yang mendapat kurnia juga akan merasai nikmat dari kurniaan itu, nikmat di sini adalah dilihat dari sudut faedah dan kebaikan yang dirasai dari sifat belas kasihan dan kurniaan seseorang.
Jika dilihat dari sudut ini, maka tepatlah apa yang dikatakan oleh Jibril bahawa nikmat dari hamba Allah itu belum ada. Kerana jika kita lihat kembali, apakah yang sudah dilakukan oleh hamba Allah itu selain dari sembahyang! Belum ada. Hamba Allah itu belum membawa sebarang rahmat, atau dengan kata lain dia belum lagi melakukan sesuatu yang menunjukkan sifat kasihannya, menganugerahnya, atau mengurnianya, atau dengan kata lain, hidupnya selama 500 tahun di pulau itu belum mendatangkan faedah dan kebaikan kepada sesiapa. Namun satu persoalan boleh kita timbulkan di sini, umpamanya, apakah yang boleh dilakukannya di sebuah pulau yang kecil dan tiada penghuni itu? Saya pulangkan buat kalian memikirkannya.
Justeru konsep sembahyang kita harus diperbetul. Jika tidak sembahyang kita mungkin ditolak. Ini digambarkan oleh sebuah hadis yang menyebut,
Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), antaranya sembahyang datang lalu berkata, ‘Ya Tuhanku akulah sembahyang’; Allah Taala berfirman (kepadanya) ‘Tujuan engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup)’; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa, dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup’; kemudian datang pula Islam lalu berkata, ‘Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan yang bernama Assalam, dan akulah Islam’; maka Allah Taala berfirman (kepadanya), ‘Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan engkaulah jua aku memberi balasan’. (Mustika Hadis Jilid I, 42)
Yang bermaksud bahawa sembahyang dan ibadah-ibadah yang lain itu belum cukup untuk menolong pengamalnya mendapat syafaat syurga, kecuali keIslamannya. Dengan kata lain sembahyang dan amalan-amalan lain itu haruslah yang menegakkan Islam. Islam di sini bermaksud jalan hidup atau way of life, bukan agama sahaja.
Inilah antara sebab-sebab sembahyang kita digelar sebagai tiang agama. Jadi, sembahyang yang hanya ditegakkan mengikut takrif (dengan menyempurnakan kesemua rukun-rukunnya) sahaja adalah belum cukup. Jadi sembahyang yang tidak mencapai matlamat ini mungkin ditolak seperti yang digambarkan oleh hadis di atas: sembahyangnya sah tetapi belum cukup.
Justeru konsep sembahyang yang lebih tepat ialah yang membawa rahmat kepada sekalian manusia, sekalian makhluk sama ada yang hidup maupun yang tidak hidup.
Wallahu aalam.

No comments: