29 March 2020

Masuk syurga dengan rahmat Allah, bukan sembahyang

Assalamualaikum wbt.
Sekali lagi saya posting riwayat di bawah ini untuk ke sekian kalinya.  Mungkin saudara/saudari pernah mengikutinya. Namun kali ini saya membuat ulasannya dari perpektif lain, yang saya kira lebih jelas lagi. Sudikan membacanya.

Ada sebuah riwayat yang sangat baik untuk kita jadikan teladan. Riwayat ini adalah berkaitan dengan kenyataan yang menyebut bahawa sembahyang sahaja tidak membawa kita ke syurga. Riwayat ini tercatat dalam buku Ke Arah Haji Yang Mabrur, yang disebut oleh Imam al-Hakim katanya daripada Jabir bin Abdullah ra, menyebut bahawa suatu hari Nabi Muhammad saw bertemu dengan para sahabat dan bersabda,
Malaikat Jibrail baru sahaja datang kepadaku dan berkata, Wahai Muhammad, demi Tuhan yang mengutuskanmu sebagai nabi yang benar, sesungguhnya ada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beribadah selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang terletak di tengah-tengah lautan. Lebar dan panjangnya adalah 30 hasta kali 30 hasta dan dikelilingi oleh laut seluas 4000 farsakh dari tiap penjuru. Di situ, Allah swt mengeluarkan baginya mata air yang jernih selebar satu jari yang memancarkan air yang tawar lalu ia bertakung di bawah bukit, juga pohon delima yang mengeluarkan buahnya pada setiap malam untuk dimakan pada hari tersebut. Apabila hari sudah siang, dia turun untuk mengambil wuduk dan memetik delima, lalu memakannya. Kemudian dia berdiri menunaikan sembahyang dan meminta kepada Tuhannya supaya dia dimati-kan dalam keadaan sujud dan bumi atau apa sahaja atidak dapat menghancurkannya sehinggalah dia dibangkitkan dalam keadaan sujud. Lalu Allah telah melaksanakan permintaannya.
Kami pasti akan melaluinya apabila kami turun dan naik ke langit dan kami juga mendapati di sisi ilmu Allah bahawa dia akan dibangkit-kan pada hari kiamat alau dihadapkan di hadapan Allah Azza Wajalla. Allah berfirman kepadanya (dengan memerintahkan kepada para malaikat), ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’. Allah berfirman, ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’. Allah berfirman lagi, ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’.
Lalu Allah berfirman kepada para malaikat, ‘Hitunglah hamba-Ku ini pada nikmat-Ku yang telah dikurniakan kepadanya dengan amalannya’. Maka, didapati nikmat penglihatannya telah merangkumi ibadah yang dilakukannya selama 500 tahun, sedangkan nikmat anggota tubuh badan yang lain masih berbaki (belum dihitung). Lalu Allah berfirman, ‘Masukkan hamba-Ku ke dalam neraka’. Ketika diterik menuju ke neraka, dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmat-Mu’. Maka Allah berfirman (kepada para malaikat), ‘Kembalikanlah ia’. Lalu dia dihadapkan di hadapan Allah dan Allah bertanya, ‘Wahai hamba-Ku, siapa yang menjadikanmu ketika dirimu masih tidak ada?’ Dia menjawab, ‘Engkau wahai Tuhan’. Allah bertanya, ‘Adakah ia disebabkan amalanmu atau rahmat-Ku?’ Dia menjawab, ‘Bahkan dengan rahmat-Mu.’ Allah bertanya, ‘Siapakah yang memberi kekuatan kepadamu untuk beribadah selama 500 tahun?’. Dia menjawab, ‘Engkau wahai Tuhanku’. Allah bertanya lagi, ‘Siapakah yang menempatkan engkau di atas bukit di tengah-tengah laut, mengeluarkan air segar yang tawar daripada sumber air laut yang masin, menumbuhkan sebiji buah delima sedangkan sesungguhnya ia hanya akan berbuah sekali sahaja dalam satu tahun, dan engkau mohon kepada-Ku untuk mati dalam keadaan sujud lalu Aku melakukannya?’ Jawabnya, ‘Engkau wahai Tuhanku’. Firman Allah semua itu adalah dengan rahmat-Ku’. (Ke Arah Haji Yang Mabrur, 23-24)
Riwayat ini diambil dari Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman, oleh Imam Habib Abdullah Haddad (pengarang Ratib Haddad) disiarkan dalam blog www.cahayamukmin.blogspot com/2008/08.
Riwayat ini adalah tentang Malaikat Jibrail menceritakan kepada Nabi saw kesudahan hamba Allah itu di Akhirat kelak. Malaikat Jibrail menjangkakan hamba Allah itu akan dimasukkan ke syurga melihat kepada amalan yang dilakukannya selama 500 tahun itu. Namun hakikatnya Allah swt memerintahkan supaya dia dimasukkkan ke syurga kerana rahmat-Nya, tetapi dia pula meminta agar dimasukkan ke syurga kerana amalannya.
Setelah tiga kali memohon perkara yang sama, Allah swt menarik balik arahan tersebut dan meminta para malaikat memasukkannya ke neraka.
Hamba Allah ini menyangka bahawa amalannya selama 500 tahun itu melayakkannya masuk syurga tetapi ternyata sangkaan itu tidak betul. Hal ini kerana setelah dibuat perhitungan menunjukkan nikmat mata yang dianugerahkan Allah kepadanya sahaja terlalu banyak sedangkan dia belum membuat walaupun satu rahmat sekalipun. Akhirnya dia mengaku dengan kesilapan tersebut lalu minta dimasukkan ke syurga kerana rahmat Allah. apakah rahmat Allah, dan bagaimana hamba Allah itu boleh mendapat rahmat Allah.

Rahmat Allah

Perhitungan yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dalam riwayat ini menggambarkan bahawa Allah swt sangat mengharapkan setiap manusia harus membawa rahmat.
Apakah dia rahmat?
Dalam al-Quran perkataan rahmat disebut sebanyak 124 kali, yang menggambarkan sifat-sifat mengasihi, memberkati dan menganugerahi. Antaranya yang menyebut, Tidaklah Kami mengutuskanmu melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam. (al-Anbiya’, 107)
Jelas, Allah swt memerintahkan Muhammad saw (dan umatnya) membawa rahmat buat sekalian alam. Perintah ini bertepatan dengan tujuan Allah mencipta manusia – Allah menghendakki manusia menjadi khalifah, yang misi dan visinya ialah membina iklim keamanan, kesejahteraan dan kepuasan, yang sasarannya bukan buat manusia semata-mata tetapi mencakupi sekitarannya.
Namun, apakah yang telah dilakukan oleh hamba Allah itu selama berada di pulau tersebut. Belum ada, kata malaikat Jibrail. Jelas, diriwayatkan bahawa hamba Allah itu hanya makan-minum dan sembahyang sahaja. Namun, mungkin kita boleh mempersoalkan, misalnya apakah yang dapat dilakukannya di sebuah pulau yang kecil dan tidak berpenghuni itu.
Ada satu ayat dalam surah ali-Imran menyebut, yang maksudnya Dan taatlah kepada Allah dan Rasul (Nabi Muhammad), moga-moga kamu dirahmati. (ali-Imran, 132). Ayat ini menunjukkan antara jalannya untuk mendapat rahmat Allah ialah dengan mentaati Allah dan Rasul.
Dalam Kamus Dewan, taat ertinya sentiasa menurut perintah (Tuhan dll), tidak mengingkari perintah dll, disebut juga ertinya patuh. Jadi untuk mendapat rahmat hamba Allah itu boleh sahaja memenuhi maksud taatlah dalam ayat ini.
Taat bukanlah sesuatu yang dapat dilihat dengan mata, tetapi adalah lintasan dalam hati. Hal ini tidak disebut dalam riwayat berkenaan. Mungkin inilah sebabnya malaikat Jibrail tidak menghitungnya.
Siapakah yang mengetahui perkara-perkara yang terlintas dalam hati kita. Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui-nya. Allah swt mengetahi bahawa hamba Allah itu hidup dalam keadaan taat dan patuh dengan perintah dan menjauhi larangan. Misalnya kita boleh fikirkan secara logik  yang dia tidak merosakkan tumbuhan atau membunuh sebarang haiwan yang berada bersamanya di pulau itu. Inilah alasannya Allah memasukkannya ke syurga kerana mematuhi ayat 132 ali- Imran. Malaikat Jibrail tidak mengetahuinya kerana itu dia tidak menghitungnya.
Mesej yang jelas di sini ialah bahawa sembahyang sahaja sebanyak manapun kita lakukan tidak menjamin masuk syurga. Yang memasukkannya ke syurga adalah rahmat Allah swt jua.

Hal ini telah disebut-sebut juga oleh ramai ulama’. Antaranya ialah Syeikh Abdul Kadir al-Jailani, menyatakan,
Dengan-Mu kita tidak dapat sampai, sedang kami amat berhajat kepada-Mu. Yakni kita tidak dapat sampai ke mana-mana dengan amalan kita tanpa rahmat Allah Taala, sedang kita wajib beramal kerana menurut perintah-Nya’.
Amalan di sini ialah sembahyang, zakat, puasa dan haji, seperti yang disebut, sedang kita wajib beramal kerana menurut perintah-Nya. Inilah empat ibadah yang diperintahkan kita menunaikannya.
Nada yang sama disebut oleh Syeikh Abu Said al-Kharraz yang menyebut,
Siapa yang mengira bahawa ia akan sampai kepada Allah Taala dengan amalannya, maka ia adalah seorang yang membuang masa. Dan siapa yang mengira bahawa ia akan sampai kepada Allah Taala tanpa amalan pula, maka ia adalah seorang yang berangan-angan kosong. Yang demikian itu adalah sikap yang bodoh dan terpedaya.’
Apakah yang dimaksudkan ke mana-mana. Ke mana tu. Tentu sekali syurga.

Tidak dinafikan memang ramai yang membuat amalan dengan harapan akan dapat masuk syurga.

Kita semua tahu di akhirat kelak setiap orang akan dibawa mengadap menemui Allah swt untuk dibicarakan, dan seterusnya diputuskan sama ada masuk syurga atau neraka. Malangnya mengikut kenyataan al-Kharraz itu dengan sembahyang dan amalan-amalan lainnya sahaja tidak akan sampai kepada Allah. Justeru?
Lalu hati kita mungkin terdetik misalnya untuk apakah amalan-amalan yang kita lakukan itu? Kita diperintahkan menunaikannya, hukumnya wajib, tetapi amalan-amalan itu tidak pula membawa ke syurga, tidak juga melayakkan untuk menemui Allah sekalipun.
Insya Allah, jika diizinkan Allah akan saya sambung.

No comments: