19 April 2020

Sembahyang yang ditolak

Apabila Islam dikatakan sebagai cara hidup, sembahyang sebagai salah satu ibadah dalam Rukun Islam haruslah yang menjadi asas dan tonggaknya.
Apakah ciri-ciri cara hidup yang hendak kita dirikan, yang diaturkan oleh Allah swt. Kefahaman ini penting, kerana dengannya kelak lebih mudah bagi kita mencari unsur-unsur dalam ibadah sembahyang yang hendak dijadikan asasnya.
Islam hendak menegakkan ma’rufat di bumi. Tujuannya untuk menyediakan iklim kehidupan yang situasi keamanan, kesejahteraan dan kepuasan.
Apabila disebut Islam sebagai cara hidup maknanya fokus agama Islam ialah syariat. Syariat yang diatur Allah swt adalah yang tertambat kepada aqidah, iaitu kepercayaan kepada Allah swt dan Rasul-Nya Inilah faktor yang menjamin lahirnya situasi keamanan, kesejahteraan dan kepuasan itu tadi. Pada masa yang sama kepercayaan itu tadi dijadikan asas mendepani masalah sikap membantah.
Jadi, syariat yang dikehendaki Islam adalah yang berjalan dalam situasi keamanan, kesejahteraan dan kepuasan. Dikatakan faktor yang menjaminnya ialah akhlak. Akhlak yang baik akan menjelmakan situasi-situasi tersebut.
Demikian dua aspek yang berkaitan cara hidup, iaitu bahawa halatuju hidup kita ialah syariat, dan satu lagi ialah ciri-ciri syariat yang diatur oleh Allah swt iaitu keamanan, kesejahteraan dan kepuasan.
Menyebut tentang Rukun Islam, rukun ertinya asas dan tonggak, dan Islam ertinya cara hidup. Jadi ibadah-ibadah dalam Rukun Islam itu adalah asas dan tonggak cara hidup. Dengan kata lain, sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah prosesnya, yang diterajui oleh sembahyang kerana inilah ibadah yang menjadi tiang agama.
Tetapi ibadah sembahyang yang ditunaikan mengikut takrifnya sahaja tidak menyerlahkan elemen-elemen cara hidup, kecuali setelah dijalankan prosesnya. Justeru Islam menghendaki pengamalnya menterjemahkan unsur-unsur di dalam ibadah sembahyang menjadi akhlak, kerana akhlaklah yang akan mengatur gerak langkah manusia menjalani kehidupan.
Misalnya, di manakah letaknya nilai-nilai ma’rufat dalam ibadah sembahyang. Inilah persoalan yang sangat sulit untuk dijawab. Ibadah sembahyang yang didirikan mengikut takrif sahaja tidak akan memberikan jawapannya. Lebih-lebih lagi jika hendak mencari pula unsur-unsur yang boleh dijadikan asas membina iklim keamanan, kesejahteraan dan kepuasan.
Dua aspek ini hanya sebahagian daripada yang banyak lagi. Cara hidup yang hendak dibina adalah yang meliputi bidang-bidang aqidah, kemasyarakatan, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Tentunya amat sulit.
Tetapi kita tiada pilihan. Usaha-usaha harus dijalankan. Cita-cita Islam itu tadi harus dijadikan kenyataan. Jika tidak akan dikatakan keimanan kita tidak sempurna, sembahyang kita ditolak, dan paling berat ialah jika di akhirat kelak kita tidak dapat menunjukkan rekod cara hidup yang dikehendaki-Nya.

Satu-satunya usaha yang boleh dijalankan ialah dengan mempelajari ilmu sembahyang yang batin. Ini sahaja pendekatan yang dapat menyelongkar mutiara di dasar lautan ibadah sembahyang. Dikatakan mutiara kerana inilah unsur-unsur yang tidak terhingga nilainya, yang menjamin keselamatan di dunia dan akhirat kelak. 
Wallahu aalam.

No comments: