04 September 2021

Islam Agama Cara Hidup

Manusia hari ini sudah tidak mempunyai identiti yang jelas, kehidupannya tidak tentu hala kerana telah menyimpang dari jalan tujuan penciptaannya.

Tidak terkecuali ialah kehidupan umat Islam. Kehidupannya terpalit dengan kepercayaan, mitos, konsep, falsafah tahyul, tradisi dan adat, yang cirinya kepalsuan bercampur aduk dengan kebenaran, yang salah dengan yang benar, yang karut marut dengan agama, dan mitos dengan falsafah, yang menyebabkan hati nurani umat bercelaru, berspekulasi, yang belum ada tanda-tanda akan reda.

Hari ini kesan dan tempiasnya masih ketara. Lihat sahaja fenomena kehidupan manusia hari ini: kehidupan manusia dipenuhi kejelekan-kejelekan seperti terjadinya rasuah dan kelam-kabut, kezaliman dan penindasan, kesusahan dan kesengsaraan, dan mementingkan diri sendiri. Kehidupan yang boleh disebutkan sebagai yang bukan untuk manusia mahupun binatang.

Ada yang mengaku dirinya Islam tetapi cara hidupnya jelas berasaskan idea Islam yang bersadurkan falsafah bikinan akal manusia, kebenaran bersadurkan budaya setempat. Malah tidak dinafikan ada yang bertanggapan hidup beragama sebagai tahyul lalu hidup tidak beragama seperti golongan Atheis itu. Golongan Atheist tidak menerima idea adanya Tuhan Pencipta Alam ini.

Yang paling ketara ialah melihat Islam sebagai agama kerohanian. Mereka tidak menyebutnya demikian tetapi tindak tanduknya sangat ketara berasas kepada konsep ini. Lalu mereka ini menjadikan Rukun Islam itu agenda utama hidupnya.

Idea itu menyebabkan mereka bertanggapan beribadah bertujuan untuk mengumpul pahala. Lalu idea ini dijadikan agenda utama hidupnya, mendirikan sebanyak mungkin ibadah-ibadah sembahyang sunat, wirid, puasa sunat dan sebagainya demi pahala. Justeru mereka ini menjalani kehidupannya mengikut naluri dan gerak hati, tidak berpandukan kepada ibadah-ibadahnya.

Kesan dan akibatnya mereka ini seperti tidak mengambil peduli soal kemakrufan dan kemungkaran. Sikap mementingkan diri dianggap sebagai perkara biasa, falsafah hidupnya jangan jaga tepi kain orang.

Fenomena juga menunjukkan masih ada budaya melihat bomoh sebagai pesonaliti yang mempunyai kuasa menyembuh penyakit, mempercayai hantu, kerasukan hantu, semangat bukit dan sungai, dan sebagainya.

Pengajaran-pengajaran ilmu fiqh juga rata-rata lebih menekankan hal-hal kerohanian, soal dosa pahala, syurga-neraka. Ini seolah-olah mengsahkan ketidaktentuan di atas ini betul.

Rata-rata bila bercakap tentang beribadah contoh yang diberikan ialah membaca al-Quran, menderma kepada masjid dan surau, sembahyang tahajjud, sembahyang sunat, berwirid panjang-panjang, hampir tidak kedengaran yang menyebut tentang mematuhi peraturan dan etika meletakkan kenderaan, lalulintas, menjaga kebersihan sumber air dan udara.

Walhal, ibadah disebut oleh Ayat 177 al-Baqarah menyebut, Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat. Memandang ke timur atau barat itu bermaksud sembahyang. Apakah mereka tidak pernah menemui ayat ini sedangkan mereka inilah yang kuat membaca al-Quran. Tetapi lantaran prinsip hidupnya berasas tanggapan Islam agama kerohanian, membaca itu untuk meraih pahala menyebabkan mereka meremehkan soal mentadabur bagi memenuhi tuntutan ayat 2 al-Baqarah.

Seingat saya sendiri bahawa inilah ajaran-ajaran yang disampaikan sejak lima atau enam puluh tahun yang lalu, pengajaran bersumberkan kitab-kitab lama tulisan ulama. Ini bukan hendak menyatakan tulisan para ulama terdahulu tidak betul tetapi contoh-contoh yang diberikan itu adalah diambil dari situasi semasa itu, jarang menyentuh keberadaan masa ini. Tetapi mengapa pula para penceramah masih menambat dirinya dengan kitab lama itu. Situasi ini seakan-akan menunjukkan itulah Islam. Statik, tidak berkembang.

Apakah betul bahawa Islam adalah agama seperti yang digambarkan itu. Malangnya kefahaman-kefahaman itu juga yang dijadikan amalan oleh para bijak pandai, ahli agamawan dan yang seangkatan dengannya.

Ada pula kelompok-kelompok yang melihat kehidupan di dunia ini semata-mata untuk kehidupan. Mereka menolak sebarang idea yang berkaitan dengan kerohanian (ritual). Mereka melihat ritual tidak ada kaitanya dengan kehidupan.  Jika dibangkitkan hal jati diri, perturan dan etika mereka mengambil falsafah dan budaya setempat sebagainya panduan.

Puncanya segala kecelaruan di atas ini kerana mereka tidak mempunyai kefahaman tujuan penciptaan manusia. Bagaimanakah caranya untuk membetulkannya?

Bila direnung-renungkan semula tentang ajaran Islam kita akan kita dapati pengajaran Islam tidak dimulakan dengan pengetahuan tujuan penciptaan manusia, iaitu idea tentang apakah tujuan Allah swt mencipta manusia dan meletakkannya di bumi ini.

Hakikatnya tujuan penciptaan manusia ialah untuk kehidupan. Dengan ini ertinya Islam adalah agama cara hidup. Hal ini digambarkan oleh ayat 165 al-Anam dan ayat 69 al-Araf.

Dengan kefahaman Islam agama cara hidup dengan sendirinya menolak idea-idea yang dikatakan sebagai kecelaruan dan simpang-siur itu tadi. Terutama sekali tanggapan Islam agama kerohanian itu, dan gejala-gejala yang berkaitan seperti beribadah untuk mencari pahala, dan sebagainya.

Dengan demikian idea Islam agama cara hidup itu menghendaki kita menjadi manusia yang melihat bahawa selama kita tinggal di dunia ini agenda utama kita ialah soal cara hidup, bukan beribadah.

Cara hidup yang dikehendaki dibayangkan oleh ayat 69 al-Araf itu, iaitu menggunakan kelebihan (dan kekuatan) tubuh badan.

Beribadah menunaikan ibadah-ibadah sembahyang, zakat, berpuasa dan haji itu tidak disebut oleh dua ayat tersebut itu. Ertinya beribadah itu adalah suatu yang lain, bukan sebahagian dari tujuan penciptaan manusia. Jika dilihat dari sudut harfiyah pun ibadah atau beribadah itu berasal dari perkataan ‘abd ( ) yang ertinya tunduk patuh.

Malangnya kita semua seperti tidak pernah menyedari idea tujuan penciptaan manusia itu.

Jika ditinjau dari sudut pengajian agama (Islam) kita tidak pernah mendengar idea ini walaupun di peringkat pengajian ijazah. Saya pernah menjadi pemandu grab, biasa membawa penuntut universiti. Dalam perjalanan saya sengaja melontarkan idea bahawa sembahyang kita ada tujuannya, sambil menghulurkan sebuah buku yang saya tulis bertajuk RUKUN ISLAM Asas dan Tonggak WAY OF LIFE. Salah seorang daripada mereka bertanya, Mana encik dapat idea ini?

Bagi saya soalan ini menggambarkan kurikulum pengajiannya, kerana mereka adalah pelajar universiti Islam. Jika idea pada tahap ini pun mereka seperti tidak mengetahuinya apalagi dengan idea tujuan penciptaan manusia.

Tinjauan saya terhadap tulisan buku-buku keagamaan sekalipun tidak pernah menyentuhnya. Kebanyakannya lebih menekankan soal nas dan hujah syarie, yang tidak dikaitkan dengan cara hidup. Tulisan-tulisan artikel oleh personal dari agensi keagamaan juga menggambarkan tidak menyentuh idea ini.

Kedudukan ini membuat saya bertanggapan bahawa belum ada tanda-tanda kecelaruan dan simpang-siur yang saya sebut di atas akan reda.
Di manakah kedudukan anda. Jika terkeliru bagaimanakah cara hendak membetulkannya, dan apakah alasannya.  

No comments: