15 September 2021

Pelacur/Muwaffak

Rahmat Allah swt diberi kepada cara hidup di dunia, bukan kerana ibadah-ibadah kita.

Kita biasa mendengar riwayat tentang seorang pelacur masuk syurga kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan. Bayangkan, profile seorang pelacur: pada adatnya adakah dia seorang yang banyak sembahyang? berpuasa? bertahajjud? berdakwah? Menutup aurat? Dia dimasukkan ke syurga kerana amalan keduniaan yang disebut cara hidup itu. Bagaimanapun yang pasti dia tidak berdosa dengan orang lain, menyakiti orang lain, mengata-ngata, memfitnah, dan lain-lain, alasannya Orang yang berdosa dengan orang lain tidak masuk syurga selagi belum mendapat ampun dari orang yang disakiti, berdosa dengan Allah boleh diampun dengan bertaubat, atau mendapat keampunan Allah swt atas sesuatu sebab.

Tentu anda juga pernah mendengar riwayat hamba Allah bernama Muwaffak, seorang tukang kasut yang mendapat haji yang mabrur walaupun dia tidak pun pergi mengerjakan ibadah haji ke Mekah. Dia dimasukkan ke syurga kerana hajinya yang mabrur, kemabrurannya kerana dia telah menggunakan wang dana yang dikumpulkannya untuk pergi ke Mekah bagi membantu anak-anak yatim di sebelah rumahnya yang kelaparan. Renungkanlah betapa kasih dan sayangnya Allah swt terhadap hamba-hamba-Nya yang menyayangi hamba-hamba-Nya yang lain.

Sebaliknya, seorang hamba Allah swt diriwayatkan hidup mengasingkan diri di sebuah pulau kecil yang tidak berpenghuni, untuk beribadah kepada Allah swt. Riwayat menyebut dia sembahyang selama 500 tahun, memohon agar dimatikan dalam keadaan sembahyang. Permohonannya ditunaikan Allah swt. Malangnya, Malaikat Jibril meriwayatkan kepada baginda Nabi saw bahawa permohonannya untuk masuk syurga dengan amalan sembahyangnya ditolak.

Ketiga-tiga riwayat ini menunjukkan bahawa Allah swt amat menghendaki umat-Nya menjaga cara hidup di dunia, agar mendapat rahmat-Nya.

Baca riwayat penuhnya dalam buku KE ARAH HAJI YANG MABRUR, tulisan Hj Mohamad Lamin, terbitan Telaga Biru.; boleh diperolehi di http://epustaka.company.site 

Tidak dinafikan ada antara kita meragui riwayat di atas ini lantaran dirinya sudah sejak sekian lama dicengkam oleh cara hidup yang terpalit dengan kecelaruan dan simpang-siur. Misalnya, apakah puncanya sehingga mereka melihat seruan menunaikan ibadah-ibadah dalam Rukun Islam itu sebagai agenda utama hidup mereka, yang sepatutnya agenda hidup kita ialah cara hidup atau gaya hidup. Ibadah-ibadah dalam Rukun Islam itu adalah asas dan tonggaknya yang mencorakkan cara hidup kita. Ibadah-ibadah yang lain juga demikian. Ibadah bukan agenda utama hidup kita.

No comments: